Bazar Ramadan Mega Melaka 2024 lebih meriah

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 2 Mac – Menyediakan zon makan berkonsep santai untuk moreh menjadi antara pembaharuan yang dibawa Melaka Grand Ramadan Bazar (Melgrab) pada tahun ketiga penganjurannya di Jalan Hang Tuah.

Penganjurnya, Muhammad Fikri Mohd Ali berkata antara lain yang menarik adalah penganjuran program K-Car yang mengumpulkan lebih 200 kereta kompak dengan pengisian aktiviti kebajikan sebagai acara kemuncak bersempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya, mengekalkan tema pencahayaan berwarna-warni atau ‘Light The City’ seperti tahun lalu, pihaknya menyasarkan kehadiran 2.5 juta pengunjung sehingga akhir Ramadan ini.

“Pada tahun ini kita, meletakkan sasaran kutipan jualan sehingga RM4.5 juta berbanding RM3 juta yang berjaya dikutip pada tahun lalu.

“Bertepatan dengan TMM2024, kita juga mahu menggamit lebih ramai pengunjung dan meletakkan harapan yang tinggi untuk bazar ini di mana terdapat 154 peniaga yang akan menjual pelbagai barangan sempena perayaan Aidilfitri.

“Program dan aktiviti turut dipelbagaikan antaranya program keagamaan pada setiap malam untuk mengimarahkan Ramadan, selain persembahan artis terkenal tanah air,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Fikri berkata, seperti tahun-tahun sebelum ini, pihaknya juga akan menawarkan hadiah sebuah kereta bernilai lebih RM50,000 beserta hadiah lain kepada pengunjung bertuah.

Selain itu, ujarnya, sebagai penghargaan kepada peniaga yang setia bersama Melgrab untuk tahun ketiga, pihaknya juga bakal mengadakan cabutan bertuah menarik untuk peniaga.

“Hadiah utama untuk cabutan bertuah kepada peniaga kita berikan sebuah motosikal khas di mana setiap peniaga termaktub untuk satu penyertaan sahaja.

“Selain itu, kita turut mengadakan kutipan dana bagi membantu madrasah dan kita akan memanggil anak-anak yatim dari pelbagai pertubuhan kebajikan untuk diraikan,” katanya.

Jelas Muhammad Fikri, bazar Aidilfitri itu akan beroperasi bermula pada 12 Mac sehingga 10 April sepanjang Ramadan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1777
Kongsi :
Previous post Melaka ada 6 destinasi untuk ‘Thallasophile’
Next post Kongsi nikmat Ramadan – KM
Ubah saiz-+=