Konsert ambang merdeka disiar melalui Youtube – Exco Pelancongan

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 17 Ogos – Konsert ambang kemerdekaan dicadang diadakan secara atas talian bagi menyambut detik Hari Kemerdekaan Negara ke-63 itu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, konsert yang diadakan menerusi laman Youtube Tourism Melaka itu akan diadakan dalam menyemarakkan sambutan kemerdekaan tidak lama lagi.

Jelasnya, tiada sambutan kemerdekaan membabitkan penyertaan orang awam diadakan tahun ini bagi mengelakkan penularan Covid-19.

“Namun, kerajaan negeri akan mengadakan perhimpunan sempena Hari Kemerdekaan yang disertai wakil rakyat dan kakitangan kerajaan negeri di Seri Negeri pada 31 Ogos nanti.

“Sambutan yang disambut secara sederhana itu diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan akan disiarkan menerusi laman rasmi media sosial kerajaan negeri diikuti penyampaian amanat Ketua Menteri Datuk Haji Sulaiman Md. Ali.

“Tiada perarakan kemerdekaan dianjurkan tahun ini, malah ia juga tidak membabitkan penyertaan orang ramai dalam penganjuran Hari Kemerdekaan tahun ini bagi membendung penularan wabak tersebut,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Tambahnya, konsert yang bakal diadakan menerusi Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) meliputi pelbagai persembahan kebudayaan daripada artis-artis tempatan.

“Konsert kemerdekaan diadakan secara ‘online’ ini adalah kesinambungan daripada aktiviti Tourism Melaka dengan menganjurkan konsert dan persembahan atas talian menerusi laman Youtube.

“Perkara ini sering dijalankan agensi itu dan ini juga mampu mempromosi aktivit pelancongan di negeri ini dan kita seharusnya menyokong dengan usaha berkenaan,’ katanya.

Views:

308
Kongsi :
Previous post JPN Melaka perkasa program turun padang bantu rakyat
Next post MBMB pasang 2,000 Jalur Gemilang
Ubah saiz-+=