Koperasi bantu tangani inflasi, kenaikan harga barang

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KLEBANG 23 Julai – Koperasi berupaya membantu masalah inflasi dan kenaikan harga barangan pada masa kini, kata Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Ahli Lembaga ANGKASA Datuk Kamarudin Ismail berkata, menerusi kewujudan koperasi, ia dapat membantu menghapuskan peranan orang tengah yang menjadi antara faktor penyebab kenaikan harga.

Jelasnya, peranan itu dapat dihapuskan melalui pengumpulan dana dalam kalangan ahli koperasi dan seterusnya pergi terus kepada pembekal untuk melakukan rundingan harga yang lebih rendah.

“Seperti contoh koperasi keluarga, kalau ada keahlian 50 hingga 100 ahli, mereka dapat bersama-sama berpakat atasi masalah harga barang yang berlaku sekarang.

“Contohnya, setiap ahli mengeluarkan RM300 untuk berbelanja setiap bulan. Mengapa tidak wang itu dikumpulkan dan mereka boleh terus pergi kepada pihak pengeluar.

“Jadi mereka tidak perlu lagi pergi kepada peruncit kerana mereka akan dapat harga yang lebih rendah. Mereka juga boleh berbelanja di koperasi milik mereka sendiri yang mana mereka bukan sahaja mendapat barangan yang diperlukan, bahkan akan mendapat keuntungan lagi sebagai ahli koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Pesta Kerjaya dan Kerja Amal 2022 Hari Usahawan Muda Fazil Group di Klebang Utama, di sini, hari ini.

KAMARUDIN ketika berucap pada Pesta Kerjaya dan Kerja Amal 2022 Hari Usahawan Muda Fazil Group di Klebang Utama.

Terdahulu, program tersebut telah dirasmikan Exco Kanan Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Dalam majlis itu turut diadakan penyampaian sumbangan kepada asnaf.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kegagalan 70 peratus usahawan dan koperasi di negara ini, Kamarudin yang juga Ahli Lembaga Ikatan Koperasi Antarabangsa (ICA) berkata, kegagalan itu berpunca daripada pengurusan yang lemah.

Katanya, aspek pengurusan termasuk melibatkan soal kewangan menjadi antara senjata utama kejayaan sesebuah empayar perniagaan dan koperasi.

“Kalau bercakap soal koperasi dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sebenarnya banyak agensi kerajaan yang boleh memberi pinjaman dan bantuan khidmat nasihat.

“Cumanya, ada di antara empayar ini mereka cepat selesa dan tidak mempelbagaikan cabang perniagaan mereka. Bila mereka seronok duduk di pejabat, maka tiadalah pendapatan.

“Jadi kegagalan itu lebih kepada soal integriti dan kegagalan mengurus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1494
Kongsi :
Previous post Ford sasar momentum jualan kukuh di serata ASEAN, pada separuh kedua 2022
Next post Martabat busana Melayu
Ubah saiz-+=