Kopi 13 negeri di bawah satu bumbung

Masa Membaca:2 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 4 Oktober – Sejak beberapa dekad lalu, kopi menjadi antara minuman yang popular dan digemari ramai kerana bukan sahaja mempunyai citarasa tersendiri malah aromanya yang segar mampu memikat hati.

Biarpun mempunyai mempunyai pelbagai jenis kopi dan setiap satunya mempunyai rasa yang tersendiri sehinggakan kafe berasaskan minuman kopi bagai ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Malah, bagi penggemar kopi rata-rata mereka sudah boleh membezakan jenis kopi hanya berdasarkan aroma dan rasanya.

Bagi menampilkan keunikan tentang kepelbagaian rasa biji kopi yang ada di Malaysia, seorang pemilik kafe di Jonker Walk, di sini, mencipta kelainan apabila mengumpulkan 13 jenis kopi dari 13 negeri di bawah satu bumbung di premis miliknya.

Tanpa disedari idea ‘gila’ yang pernah disuarakan lebih sedekad lalu dan dipandang remeh oleh segelintir individu membuahkan hasil apabila Calanthe Art Cafe di Jalan Hang Kasturi kini menjadi pilihan penggemar kopi serta mempunyai peminat tersendiri.

Pengasasnya, Joe Ng Kim Chew berkata, idea untuk menghimpunkan kopi dari serata negeri di Malaysia diperoleh daripada bapanya yang gemar menikmati kopi saban hari selain dia melihat hidangan itu bukan sekadar minuman tetapi sebagai platform silaturahim.

“Bukan mudah untuk mengumpul kesemua 13 kopi ini kerana saya bersama dengan rakan kongsi perlu ke setiap negeri semata-mata mahu mendapatkan biji kopi dan citarasa kopi tempatan dari negeri terbabit selain mempelajari teknik-tekniknya.

“Kemudahan internet waktu itu terhad tidak seperti sekarang, berpandukan peta saya ke setiap negeri malah dalam sehari saya bersama rakan pernah minum 17 cawan kopi semata-mata hanya untuk mendapatkan rasa sebenar,” katanya ketika ditemui di Calanthe Art Cafe, Jonker Walk, baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Tengkera itu, ideanya menghimpunkan 13 kopi di bawah satu bumbung bukan untuk mencabar mana-mana premis atau kafe kopi yang lain, sebaliknya dia mahu meneruskan budaya kopi dalam kehidupan masyarakat.

“Tujuan kami bukan untuk cari rasa kopi mana yang sedap atau terbaik tetapi apa yang kami mahukan adalah kopi yang digemari masyarakat setempat kerana setiap orang mempunyai citarasa tersendiri dalam pemilihan minuman kopi selain dengan adanya 13 kopi ini umpamanya pelanggan dapat melawat satu Malaysia.

“Sebenarnya idea ini timbul juga susulan daripada kata-kata mantan Ketua Menteri Melaka yang kini menjadi Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam iaitu ‘Melawat Melaka Seperti Melawat Malaysia’,” katanya.

Ujar Joe, daripada 13 kopi yang dihidangkan di premisnya, kopi dari negeri Johor menjadi pilihan ramai kerana mempunyai rasa dan aroma yang unik berbanding negeri lain.

Namun begitu setiap negeri mempunyai aroma biji kopi berbeza bergantung kepada cita rasa masyarakat tempatan.

Selain menampilkan pelbagai jenis kopi dan minuman, pelanggan yang datang juga boleh memilih pelbagai sajian lain antaranya Asam Pedas Claypot, Ayam Pedas Calanthe, Kari Laksa dan Laksa Claypot.

Malah sentuhan klasik yang dikekalkan pada hiasan dalaman bangunan lama itu memberikan satu suasana damai dan tenang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2050
Kongsi :
Previous post PBT sedia kerjasama tangani isu bekalan beras
Next post Sukan Asia: Malaysia mendekati sasaran 27 pingat di Hangzhou
Ubah saiz-+=