PBT sedia kerjasama tangani isu bekalan beras

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

AYER KEROH 4 Oktober – Pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengeluarkan notis peringatan kepada pemilik premis perniagaan berhubung isu bekalan beras tempatan jika menerima laporan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, notis peringatan itu akan diberikan kepada pemegang lesen premis perniagaan jika melanggar syarat ditetapkan KPDN.

“Kita hanya keluarkan lesen premis perniagaan, jika KPDN memberi laporan kepada kita bahawa premis tersebut melanggar mana-mana garis panduan dan maklumkan kepada kita, kita akan keluarkan notis peringatan.

“Setakat ini kita tak pasti KPDN punya garis panduan, tetapi jika premis perniagaan itu langgar syarat ditetapkan, mereka (KPDN) boleh maklumkan kepada kita.

“Bagaimanapun, KPDN yang perlu salurkan maklumat kepada kita sebelum kita keluarkan notis tersebut, semua laporan adalah daripada KPDN,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, PBT hanya menguruskan pengeluaran lesen premis perniagaan, namun bagi lesen beras adalah di bawah bidang kuasa KPDN sendiri.

Sebelum ini Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Dr. Muhamad Akmal Saleh negeri berkata, anggota penguat kuasa KPDN dan PBT akan bekerjasama memantau penjualan beras tempatan di pasar raya dan kedai runcit.

“Kerajaan telah merangka dan melaksanakan polisi yang baik untuk rakyat negara ini termasuk isu bekalan beras tempatan dan penguatkuasaan yang perlu dilakukan secara tegas dan terperinci kepada pemborong atau pengilang beras yang dikesan mengambil kesempatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

955
Kongsi :
Previous post Empat sekeluarga sudah pulang ke Kluang – Polis
Next post Kopi 13 negeri di bawah satu bumbung
Ubah saiz-+=