Empat sekeluarga sudah pulang ke Kluang – Polis

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

JERTIH, 3 Okt – Polis mengesahkan empat sekeluarga yang dikhuatiri hilang setelah gagal dihubungi sejak Sabtu selepas bercuti di Pulau Perhentian di sini, telah selamat pulang ke rumah keluarga mereka di Kluang, Johor petang ini.

Ketua Polis Daerah Besut Supt Abdul Rozak Mohamad berkata pihaknya mendapat maklumat berkenaan daripada waris mangsa tentang kepulangan Suraidah Abdul Ghani, 52, bersama anak lelaki serta dua cucunya itu.

“Bagaimanapun polis belum memperoleh butiran lanjut daripada waris mengenai kejadian mangsa yang tidak dapat dikesan sejak Sabtu lepas ketika bercuti di Pulau Perhentian. Sehubungan itu, polis menganggap kes ini telah selesai,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, polis meminta bantuan orang ramai untuk menyalur maklumat mengenai ‘kehilangan’ empat sekeluarga berkenaan yang gagal dihubungi selepas bercuti di Pulau Perhentian di sini bermula Jumaat hingga Ahad lepas.

Abdul Rozak berkata berdasarkan semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati semua mangsa bergerak keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke arah Jambatan Kuala Besut (arah Kampung Raja- Kuala Terengganu) dengan menaiki kereta Proton Saga BLM warna biru dengan nombor pendaftaran JRW6380, iaitu kereta yang dibawa keluarga itu sebelum ini.

Sementara itu di Johor, Sukarelawan Pertubuhan Amal Komuniti Besut Ahmad Nazrul mengesahkan Suraidah dan anaknya Mohamad Aiman Rafee, 21, serta dua cucunya Sasa Alesha Mohd Saiful, 7, dan Ahmad Dhani Mohd Saiful, 4, sudah berada di Kluang.

“Ya, saya mengesahkan bahawa mereka telah selamat pulang ke Kluang. Saya telah berhubung dengan bapa kepada kanak-kanak tersebut dan dia mengesahkannya.

“Buat masa ini, mungkin bapa kanak-kanak itu mahu berehat sebab memandu kenderaan dari Kluang ke Terengganu dan berpatah balik, kita cuba bantu mana termampu,” katanya di sini.

Ahmad berkata kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat dan berharap tiada pihak yang membuat sebarang spekulasi terhadap kes berkenaan.

“Terima kasih kepada semua yang telah banyak membantu dalam usaha mencari ini. Terima kasih pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengusaha resort dan hotel Pulau Perhentian, pengusaha bot Pulau Perhentian dan semua yang terlibat secara langsung mahupun secara tak langsung,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4655
Kongsi :
Previous post Jelajah Keusahawanan Melaka bermula 15 Oktober
Next post PBT sedia kerjasama tangani isu bekalan beras
Ubah saiz-+=