Jelajah Keusahawanan Melaka bermula 15 Oktober

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

BANDARAYA MELAKA 3 Oktober – Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang akan menjadi lokasi pertama penganjuran Jelajah Keusahawanan Melaka yang akan diadakan pada 15 Oktober ini.

Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Allex Seah Shoo Chin berkata, siri jelajah yang akan diadakan di enam Parlimen di negeri ini adalah inisiatif untuk membantu usahawan dan penduduk setempat mendapat maklumat yang terperinci dalam memperluaskan perniagaan diusahakan.

Beliau berkata, jelajah yang akan diadakan itu adalah hasil perbincangan bersama antara pihaknya dengan agensi berkaitan.

“Jelajah ini kita akan pergi ke setiap Parlimen dan DUN Kesidang akan menjadi destinasi pertama di bawah Parlimen Kota Melaka yang dipilih.

“Pada jelajah itu nanti lebih daripada 10 agensi yang berkaitan termasuk Melaka Finance House Berhad, Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengambil bahagian untuk bersama-sama memberi maklumat kepada usahawan serta penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Festival Pengantin Royal Wedding, di sebuah pasaraya di Peringgit, hari ini.

Allex yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kesidang berkata, program itu bukan sahaja terbuka kepada usahawan malah semua masyarakat setempat dialu-alukan datang berkunjung ke jelajah itu nanti.

“Jika sebelum ini usahawan atau masyarakat yang ingin mendapatkan maklumat berkaitan bidang keusahawanan atau untuk memperluas perniagaan mereka, perlu bergerak sendiri ke setiap agensi berkaitan tetapi kali ini Kerajaan Negeri menyediakan platform yang amat mudah apabila bergerak ke setiap Parlimen.

“Jelajah ini akan diadakan pada Ahad dan kita jangkakan setiap bulan akan dapat dua kali penganjuran, selepas di DUN Kesidang selepas itu kita akan ke Parlimen Tangga Batu yang mana DUN Pantai Kundor menjadi lokasi penganjuran jelajah sebelum meneruskan ke lokasi yang lain,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1125
Kongsi :
Previous post Hujan berterusan tahap waspada di tiga negeri mulai esok
Next post Empat sekeluarga sudah pulang ke Kluang – Polis
Ubah saiz-+=