KOS RAWATAN TINGGI, MAIM RINGANKAN BEBAN PESAKIT KRONIK

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 18 Ogos – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) terus membantu meringankan beban keluarga yang berdepan kos rawatan penyakit kronik yang tinggi menerusi penyaluran bantuan zakat berdasarkan keperluan dan keadaan mereka.

Penolong Setiausaha Bahagian Agihan Zakat MAIM, Nor Azmi Hussin berkata, pihaknya sentiasa menerima permohonan berkaitan keperluan perubatan, khususnya daripada keluarga yang berdepan kesukaran menanggung kos rawatan penyakit seperti kanser dan sakit jantung.

Katanya, bantuan berkenaan boleh disalurkan menerusi Skim Bantuan Am bagi membantu meringankan beban kewangan pesakit dan keluarga yang memerlukan.

“Kita memang sentiasa mendapat kes rawatan pesakit kronik, terutama berkaitan keperluan perubatan. Kita faham kos perubatan sekarang agak tinggi, terutama membabitkan penyakit seperti kanser, jantung dan sebagainya.

“MAIM ada Skim Bantuan Am untuk membantu pesakit ini. Mungkin tidak dapat menampung keseluruhan kos, tetapi insya-Allah sedikit sebanyak ia dapat meringankan beban keluarga yang memerlukan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas mengiringi Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada keluarga Nur Aira Melissa Muammar Haziq, 6, yang diuji dengan kanser limfoma tahap tiga di Taman Sri Aman, Masjid Tanah, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Pegawai Tugas Khas MAIM Datuk Wira Md Rawi Mahmud.

Menurut Nor Azmi, bantuan zakat boleh dipertimbangkan berdasarkan keadaan dan tahap keperluan pemohon, termasuk mereka yang bukan dalam kategori asnaf tertentu tetapi berdepan kesulitan akibat penyakit yang memerlukan kos rawatan tinggi.

Jelasnya, pendekatan berkenaan membolehkan bantuan disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan, khususnya apabila beban kos rawatan memberi kesan kepada kemampuan keluarga untuk meneruskan kehidupan.

“Apa yang lebih penting adalah kita kepada keperluan dan keadaan keluarga. Kalau memang mereka sangat memerlukan dan menyediakan segala butiran rawatan yang diperlukan, bantuan ini boleh dipertimbangkan,” ujarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

115
Kongsi :
Previous post PERMATA TERSEMBUNYI KUALA LINGGI DIGILAP JADI PRODUK PELANCONGAN BAHARU