KPDN Melaka terus gempur premis seleweng minyak masak bersubsidi

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 23 Disember – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka terus menggempur premis yang dikesan ‘menyeleweng’ penjualan barangan bersubsidi.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, terbaharu pada Rabu pihaknya menyerbu sebuah premis jualan runcit di Merdeka Jaya, dikesan melakukan salah laku penjualan minyak masak peket bersubsidi.

Norena berkata, serbuan itu adalah hasil aduan diterima daripada orang awam yang mendakwa berlaku transaksi jualan barangan kawalan dibahagian belakang premis berkenaan.

“Akibat salah laku itu pelanggan mendakwa mereka tidak berpeluang membeli minyak masak peket di premis berkenaan atas alasan tidak menerima bekalan.

“Tetapi sebenarnya berlaku aktiviti penjualan menerusi pintu belakang kepada pelanggan tetap yang dijual secara kotak. Ini melanggar syarat pembelian minyak masak bersubsidi yang dihadkan kepada tiga peket sahaja bagi setiap pelanggan,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan aduan diterima pihaknya kemudian menjalankan risikan sebelum menyerbu premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan, benar belaku aktiviti penyelewengan penjualan minyak masak peket bersubsidi. Kami juga percaya setiap peket minyak itu dijual pada harga antara RM3 hingga RM3.50 berbanding RM2.50 yang ditetapkan oleh kerajaan.

“Malah kami juga percaya kegiatan ini aktif sejak lebih sebulan lalu berdasarkan aduan diterima, kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Mengulas lanjut, Norena berkata, susulan penguatkuasaan dan serbuan ke premis dikesan terbabit dalam penyelewengan barangan bersubsidi pihaknya mula mendapat maklum balas positif daripada pengguna.

“Selepas serbuan pengguna tidak lagi berdepan kesukaran untuk mendapatkan barangan seperti minyak masak peket berbanding sebelum ini.

“Justeru kami amat mengalu-alukan kerjasama pengguna khususnya dalam penyaluran maklumat mengenai premis mahupun individu tidak bertanggungjawab terbabit dalam aktiviti penyelewengan barangan bersubsidi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

991
Kongsi :
Previous post TMM2024: Pintu masuk Melaka berwajah baharu
Next post Sukan elektronik meriahkan industri pelancongan
Ubah saiz-+=