KPDNHEP keluar lima notis terhadap peniaga barang basah

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

AYER KEROH 29 Nov – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan lima notis berhubung kenaikan harga barang basah termasuk sayur dan ayam di negeri ini.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, notis itu dikeluarkan sejak dua hari (Sabtu) lalu kepada peniaga di pasar-pasar awam sekitar Melaka Tengah menerusi penguatkuasaan Ops Sayur di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.

Katanya, antara barang basah yang dikenal pasti merekodkan kenaikan harga termasuk brokoli, sawi, cili merah dan kobis cina berikutan semua sayur berkenaan diimport dari luar.

“KPDNHEP Melaka telah menjalankan pemeriksaan Ops Sayur di peringkat peruncit dan pemborong bagi mengenal pasti punca kenaikan barang basah ketika ini.

“Setakat ini sebanyak lima notis telah dikeluarkan kepada peruncit pasar awam bagi mendapatkan maklumat kenaikan harga yang berlaku dan tempoh masa lima hari waktu bekerja diberikan kepada peruncit terbabit memberi maklum balas seperti yang dikehendaki,” katanya ketika dihubungi MHI.

Dalam pada itu, Norena berkata setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang mengenai kenaikan harga barang basah daripada orang ramai.

Tambahnya, seramai 70 anggota penguatkuasa dan pemantau harga diarahkan untuk menjalankan operasi setiap hari sehingga harga barang basah turun.

“Menerusi pemantauan didapati ada peruncit yang sengaja menaikkan harga barang basah terutamanya lapan jenis sayur-sayuran di Melaka yang meningkat sehingga 66 peratus.

“Contohnya, harga kobis cina yang meningkat iaitu daripada RM4.50 kepada RM7.00 sekilogram,” katanya.

Views:

721
Kongsi :
Previous post Tangisan, pelukan iringi kepulangan rakyat Malasysia dari Singapura menerusi VTL darat
Next post RTK-Antigen, RT-PCR mampu kesan varian Omicron – Khairy
Ubah saiz-+=