KPDNHEP nafi bekalan tepung gandum ‘putus’ di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 18 Mei – Kementerian Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka menafikan dakwaan kononnya berlaku isu kekurangan bekalan tepung gandum dalam pasaran di negeri ini.

Pengarahnya, Norena Jaafar berkata, rakyat tidak perlu panik kerana bekalan tepung gandum bagi pelbagai jenama di peringkat pembekal mahupun pemborong adalah mencukupi.

Bagaimanapun, katanya, isu gangguan bekalan tepung gandum seperti didakwa adalah berkemungkinan berpunca dari sikap pengguna yang terlalu ‘obses’ dengan sesuatu jenama tepung bersubsidi.

“Isu mengenai kekurangan tepung di Melaka tidak berlaku kerana semua jenis tepung masih lagi berada di dalam pasaran termasuk yang subsidi dan bukan subsidi.

“Kalau pun kita nak beli sesuatu jenama tersebut tidak berada di dalam kedai, pembeli masih boleh membeli tepung jenama lain. Tidak semestinya terikat dengan satu jenama tepung sahaja sampai menyusahkan diri sendiri.

“Keadaan ini tercetus pada Aidilfitri lalu di mana terlalu banyak permintaan tepung gandum yang satu ‘cap’ itu sahaja sedangkan kita buat tinjauan masih banyak stok tepung gandum dan harga tepung subsidi pun masih kekal RM1.35 sepeket,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) .

Mengulas lanjut, beliau juga melarang sekeras-kerasnya perbuatan menyembunyikan dan mencatu tepung gandum untuk kepentingan peribadi.

“Saya faham peniaga runcit mungkin mementingkan kepentingan pengguna lain contohnya untuk golongan B40 tapi kami di pihak kementerian tidak mengehadkan pembelian tepung gandum.

“Kita juga akan memantau dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang cuba mencatu atau membeli tepung dalam kuantiti yang banyak baik daripada pihak peniaga, peruncit mahupun pembeli,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan kekurangan bekalan tepung gandum di pasaran tidak mempunyai kaitan besar dengan tindakan India melarang eksport gandum ke luar negara.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1214
Kongsi :
Previous post Yasin mula rawatan bipolar di hospital semalam
Next post PGA8 rampas tembakau bernilai lebih RM600,000 di Kota Bharu
Ubah saiz-+=