KPDNHEP rampas kasut ‘raya’ tiruan bernilai RM85,710

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 1 April- Sebanyak 4,277 pasang kasut dan selipar berjenama tiruan bernilai RM 85,710.00 dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Hal Ehwal Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka dalam satu operasi yang dijalankan pada 31 Mac.

Pengarah KPDNHEP negeri, Norena Jaafar berkata rampasan itu dilakukan di sebuah premis di Bachang yang dijadikan stor penyimpanan barangan berkenaan.

Katanya, dalam serbuan kira-kira jam 12 tengahari itu, seorang lelaki berusia 30-an yang dipercayai pemilik barangan berkenaan turut ditahan untuk diambil keterangan dan dibebaskan dengan jaminan polis.

“Modus operandi bagi kes ini adalah, menyasarkan penjualan secara atas talian melalui platform yang tersedia.

“Selain itu juga, pemilik barangan ini menumpukan jualan kepada pengguna terutamanya menjelang sambutan Aidilfitri.

“Pihak penguat kuasa membuat risikan selama seminggu di premis terbabit dan pemantauan di platform jualan atas talian, premis terbabit sudah beroperasi hampir sebulan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mengulas lanjut, Norena berkata barangan terbabit dipercayai untuk edaran di bazar Aidilfitri sekitar negeri ini.

“Kes ini akan disiasat dibawah Seksyen 102(1) (c) Akta Cap Dagangan 2019.

“Jika disabit kesalahan, suatu pertubuhan perbadanan boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barang dan kesalahan yang kedua atau berikutnya didenda tidak melebihi RM30,000.

“Jika orang itu bukan pertubuhan perbadanan, denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Norena turut menasihatkan orang ramai untuk menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan atau isu kepenggunaan.

Katanya, untuk sebarang pertanyaan lanjut dan menyalurkan aduan boleh menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang.

Ujarnya, selain itu saluran aduan melalui aplikasi Whatsapp juga disediakan di talian 019 – 279 4317.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1172
Kongsi :
Previous post Solat Jumaat: Saf kembali rapat, SOP kekal terpelihara
Next post Operasi pemantauan SOP COVID-19 akan terus dijalankan – Polis
Ubah saiz-+=