KPKM adakan perjumpaan bincangkan isu beras

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

AYER KEROH 3 Sep – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) akan mengadakan perjumpaan bersama beberapa pihak termasuk Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) bagi membincangkan mengenai bekalan beras putih tempatan negara.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, perbincangan itu adalah susulan pertemuan dan dialog yang diadakan bersama pesawah pengilang padi di Kedah baru-baru ini.

Katanya, ia juga berikutan tindakan penyelarasan harga beras putih import oleh BERNAS sejajar dengan harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.

“Kita ambil serius perkara ini kerana negara pengimport terutamanya India sudah umumkan kenaikan harga beras sehingga 40 peratus. Kita akan bincangkan dari semua segi.

“Termasuklah permintaan untuk naikkan harga (beras tempatan) walaupun keadaan beras di negara kita cukup dan kekal dengan harga RM2.60 sekilogram itu kita akan bincangkan.

“Pertemuan pada Khamis ini akan membabitkan BERNAS dan pegawai tinggi dari Lembaga Padi dan Beras Negara, malah kita juga akan babitkan FAMA dalam hal ini seperti berlakunya isu kekurangan telur serta kenaikan harga ayam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perasmian Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan 2023, di Dataran Sejarah Ayer Keroh, hari ini.

Hadir sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Bernas sebelum ini dilapor akan menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350 satu tan kepada RM3,200 satu tan berkuat kuasa Jumaat lepas.

Menurut beliau, selain mempertingkatkan penguatkuasa tindakan segera juga akan dijalankan bagi memastikan tiada kawasan yang berdepan dengan kekurangan bekalan beras.

“Kita akan minta pengeluar dan pengilang semua untuk membantu dan menghantar (bekalan beras) di tempat yang berlaku kekurangan beras tempatan.

“Malah penguatkuasaan akan dipertingkatkan supaya beras tempatan tidak dilabelkan sebagai beras import untuk mereka membuat keuntungan segera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

826
Kongsi :
Previous post Melaka rekod pencapaian, jadi pengeluar sumber makanan utama
Next post TMM2024: Menginap lebih dua malam, empat kereta menanti pemenang bertuah
Ubah saiz-+=