TMM2024: Menginap lebih dua malam, empat kereta menanti pemenang bertuah

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

KOTA LAKSAMANA 3 September – Sebanyak empat buah kereta keseluruhannya bernilai lebih RM400,000 ditawarkan kepada penginap hotel bertuah sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hadiah cabutan bertuah kereta yang setiap satunya bernilai lebih RM100,000 itu bakal menjadi milik pelancong bertuah yang menginap dalam hotel di negeri ini lebih dua malam.

Katanya, cabutan bertuah yang dilaksanakan empat kali dalam tempoh setahun itu mensyaratkan kepada pelancong yang menginap di hotel-hotel empat bintang ke atas dan mempunyai kolaborasi dengan Kerajaan Negeri sempena TMM2024.

“Setiap tiga bulan kita akan mencabut nama pelancong bertuah yang menginap di mana-mana hotel lebih dua malam di mana mereka yang menginap di hotel-hotel ini akan diberi baucar cabutan bertuah.

“Malah, selain itu pelbagai hadiah iringan yang lain juga turut ditawarkan dalam cabutan bertuah yang kita anjurkan berdasarkan terma dan syarat ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Memancing (Pra Joran) dan Memasak Sempena Bulan Kemerdekaan 2023 diadakan di Pejabat Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Pengkalan Rama, di sini hari ini.

IMG_0675
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengadakan sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing (Pra Joran) dan Memasak Sempena Bulan Kemerdekaan 2023 yang diadakan di Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Pengkalan Rama Pantai, Melaka. Foto: MR. AZLI

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.

Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Tpr. Murad Husin dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa’ari Basiron serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, selain daripada industri perhotelan, hadiah cabutan bertuah juga dibuka kepada pengunjung yang menginap di mana-mana inap desa, chalet serta hotel tiga bintang ke bawah.

Katanya, pengunjung yang menginap di mana-mana premis yang berkolaborasi dengan Kerajaan Negeri selama dua malam berpeluang menyertai cabutan bertuah dengan tawaran motosikal sebagai hadiah utama.

“Semua inap desa, chalet atau sebagainya ini boleh kolaborasi dengan kita untuk kita rencanakan program cabutan bertuah ini agar kita boleh menawarkan kepada mana-mana pelancong bertuah ini untuk menerima hadiah berupa motosikal, skuter elektrik atau sebagainya dalam tempoh tiga bulan sekali itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1351
Kongsi :
Previous post KPKM adakan perjumpaan bincangkan isu beras
Next post Sasar 3,000 pemancing ‘berkampung’ di Sungai Melaka tahun depan
Ubah saiz-+=