Sasar 3,000 pemancing ‘berkampung’ di Sungai Melaka tahun depan

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

KOTA LAKSAMANA 3 September – Pertandingan memancing di Sungai Melaka yang dianjurkan dengan skala lebih besar pada tahun menyasarkan penyertaan lebih 3,000 pemancing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program yang akan diadakan di sepanjang 2.5 kilometer di Sungai Melaka Fasa Dua itu mampu memperkasakan sambutan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Katanya, pertandingan itu dijangka diadakan pada 20 Februari 2024 sempena cuti umum Melaka sempena Hari Perisytiharan Kemerdekaan.

“Malah pelbagai aktviti lain turut dianjurkan pada hari tersebut di mana kita menawarkan pengunjung menaiki bot Melaka River Cruise (MRC) secara percuma sepanjang hari itu.

“Dengan penganjuran berskala besar ini diyakini pelbagai kemeriahan akan kita tonjolkan di samping pelbagai hadiah lumayan akan diberikan kepada peserta pertandingan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pertandingan Memancing (Pra Joran) dan Memasak Sempena Bulan Kemerdekaan 2023 diadakan di Pejabat Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai (PPSPM), Pengkalan Rama, di sini hari ini.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Ngwe Hee Sem.

Turut hadir,  Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Zaidi Attan; Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM, Datuk Tpr. Murad Husin dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP), Sa’ari Basiron serta tetamu lain.

Terdahulu dalam pertandingan diadakan hari ini, lebih 800 peserta telah menyertai acara julung kali diadakan sempena menyambut bulan kemerdekaan tahun ini selain 50 peserta turut menyertai pertandingan memasak yang dianjurkan pada program sama.

Pada program berkenaan, Ab Rauf sempat meluangkan masa menunjukkan kemahirannya di dapur dengan memasak.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan menambah baik penganjuran berkenaan pada siri kedua dan beliau berpuas hati dengan acara julung kali diadakan kali ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

810
Kongsi :
Previous post TMM2024: Menginap lebih dua malam, empat kereta menanti pemenang bertuah
Next post Tragedi memancing, warga emas ditemukan lemas
Ubah saiz-+=