Tragedi memancing, warga emas ditemukan lemas

Masa Membaca:1 Minit, 2 Saat

/
ALOR GAJAH 3 Sep – Aktiviti sekumpulan lapan kaki pancing berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui lemas ketika memancing di Pantai Cermin, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Mangsa Haudi Sujai, 63, ditemui pada jam 3 petang selepas kira-kira empat jam dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, mangsa dari Balakong, Selangor tiba di lokasi itu untuk memancing pada jam 10 pagi semalam bersama tujuh lagi rakan.

“Bagaimanapun kira-kira jam 4 pagi tadi mangsa bersama dua lagi rakan telah berjalan kaki ke arah Pantai Pulau Masjid namun pada jam 11 pagi semasa air mulai pasang, dua rakannya hampir lemas.

“Difahamkan ketika itu mangsa cuba membantu rakannya tetapi akibat air deras dia dihanyutkan air.

”Dua rakannya bagaimanapun sempat diselamatkan oleh orang kampung,” katanya.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) bersama Polis Marin dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Dengan bantuan orang kampung mangsa kemudian berjaya ditemui dalam keadaan terapung tidak jauh dari lokasi dia dikatakan lemas.

“Mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4429
Kongsi :
Previous post Sasar 3,000 pemancing ‘berkampung’ di Sungai Melaka tahun depan
Next post Tuah nama isteri ‘di dada’ rezeki menang RM10,000
Ubah saiz-+=