Tuah nama isteri ‘di dada’ rezeki menang RM10,000

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

KOTA LAKSAMANA 4 September – “Tiada rahsia apapun, Alhamdulillah, ini semua rezeki dari Allah kerana niat saya ke sini saya datang bersama nama isteri yang sentiasa di hati,” kata Mohd Nazri Choo Abdullah,59.

Mohd Nazri dinobatkan pemenang utama Pertandingan Memancing (Pra Joran) Sempena Bulan Kemerdekaan 2023 selepas ikan talapia seberat 695 gram yang dipancingnya menjadi rezeki terpijak kepadanya sekali gus membawa pulang hadiah bernilai RM10,000.

Hadiah disampaikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diiringi Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Exco Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Dia yang berasal dari Balai Panjang berkata, berbekalkan umpan cacing dan menunggu lebih kurang dua jam, dia berjaya menaikkan hasil pertamanya setelah menyertai pertandingan itu seorang diri.

“Saya datang seorang saja dan tak menjangka perkara ini berlaku.

“Mungkin ini tuah nama isteri saya, Wahida Wahid 56, di mana pakaian yang saya pakai pun tertulis nama isteri dan terletak di dada saya.

“Sebelum ini banyak pertandingan yang saya masuk memang saya daftarkan nama isteri saya walaupun dia tidak bersama-sama saya dalam pertandingan.

“Walau apa yang berlaku nama isteri sentiasa di hati dan perbetulkan niat bahawa saya datang untuk keluarga,” katanya kepada pemberita.

IMG_0681
Peserta, Mohd Nazri Choo Abdullah, 59, menjuarai pertandingan memancing dengan membawa pulang hadiah RM10,000 pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Memancing (Pra Joran) dan Memasak Sempena Bulan Kemerdekaan 2023 yang diadakan di Pejabat Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Pengkalan Rama Pantai, Melaka. Foto: MR. AZLI

Mohd Nazri yang merupakan seorang kontraktor pembersihan menjadikan memancing sebagai hobinya sejak usianya belasan tahun.

Malah katanya, tahun ini merupakan tahun bertuahnya kerana menjuarai enam kali dalam setiap penganjuran pertandingan memancing dan mencatatkan hampir RM50,000 berjaya dikumpul secara keseluruhan.

“Saya minat memancing sejak berumur belasan tahun, selain aktviti ini saya turut menjala dan menjaring untuk mendapatkan hasil.

“Setiap kali ada pertandingan saya akan menyertainya malah sanggup berkampung ke negeri lain seperti ke Kuantan, Pahang, Terengganu dan beberapa negeri lain dan Alhamdulillah banyak kali bergelar juara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4044
Kongsi :
Previous post Tragedi memancing, warga emas ditemukan lemas
Next post Kembara Kenali Borneo bermula, konvoi menuju Lahad Datu, Sandakan
Ubah saiz-+=