Melaka rekod pencapaian, jadi pengeluar sumber makanan utama

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 3 Sep – Sektor pertanian di Melaka berada di kelas tersendiri apabila merekodkan pelbagai pencapaian termasuk menjadi pengeluar kepada beberapa sumber makanan utama.

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, meskipun Melaka hanya berkeluasan 1,650 kilometer persegi namun pembangunan bagi sektor pertanian dilakukan secara menyeluruh.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga sudah mengenal pasti tanah kerajaan seluas 172.70 hektar yang berpotensi untuk dibangunkan dengan projek pertanian.

“Sehingga hari ini Melaka merupakan antara pengeluar ikan keli terbesar di Malaysia dan menjadi penyumbang  terbesar dalam pengeluaran kerang  menerusi Projek Ternakan Zon Industri Akuakultur (ZIA).

“Malah kita turut merekodkan pencapaian membanggakan melalui industri penternakan unggas yang mana Melaka adalah antara pengeluar utama telur ayam dan daging ayam dengan jumlah pengeluaran sehingga sembilan juta biji sehari. Malah turut merekodkan nilai keseluruhan tahunan sektor ternakan unggas di Melaka bernilai RM1.8 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh sempena Majlis Perasmian Karnival Jualan Mega Agro Madani Peringkat Kebangsaan 2023, di Dataran Sejarah Ayer Keroh, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.

Ab Rauf bagaimanapun sempat menghadiri program berkenaan dan tiba pada sesi ‘walkabout’ melawat gerai jualan di karnival tersebut.

Dr. Muhamad Akmal berkata, Kerajaan Negeri juga memperuntukkan sejumlah RM100,000 dalam melaksanakan Program Melaka Agro Market & Program ‘Souq Subuh’ yang diurusjan oleh FAMA Negeri Melaka dalam membantu petani serta usahawa tani meningkatkan pendapatan.

“Sehingga Ogos lalu kita telah laksanakan sebanyak 150 kali dan menyasarkan tambahan sebanyak 100 kali penganjuran sehingga penghujung Disember.

“Sehingga hari ini, kedua-dua program menghasilkan nilai jualan sebanyak RM3.5 juta dengan manfaat diterima oleh 200,000 pengguna di Melaka,” katanya.

Mengulas lanjut beliau berkata, besar harapan Kerajaan Negeri Melaka sekiranya peruntukan yang lebih besar dapat disalurkan kepada Melaka untuk terus memajukan sektor pertanian dan keterjaminan makanan dalam Belanjawan 2024.

“Kerajaan Negeri juga memohon agar peruntukan sebanyak RM3.5 juta daripada RM43 juta menerusi perutukan tambahan kepada FAMA dapat diberikan kepada Negeri Melaka.

“Ini bagi memastikan seluruh 28 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) boleh melaksanakan Jualan Agro Madani pada setiap minggu di ‘outlet’ pemasaran yang dikenal pasti,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1877
Kongsi :
Previous post Program skala besar bantu promosi TMM2024
Next post KPKM adakan perjumpaan bincangkan isu beras
Ubah saiz-+=