
KPKT JALIN KERJASAMA DENGAN UN-HABITAT BANGUNKAN MY PUBLIC SPACE
PAYA RUMPUT 7 Ogos – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Jabatan Landskap Negara (JLN) akan bekerjasama dengan UN-Habitat bagi membangunkan MY Public Space dalam usaha memperkasa pengurusan ruang awam negara berasaskan amalan terbaik peringkat antarabangsa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif itu diumumkan bersempena Sambutan Hari Landskap Negara (HLN) 2026 dan disesuaikan dengan keperluan serta aspirasi pembangunan bandar di Malaysia.
Menurut beliau, kerjasama strategik itu bertujuan memastikan setiap ruang awam yang dibangunkan lebih berkualiti, inklusif, selamat dan berdaya tahan, selain mampu menjamin kesejahteraan rakyat.
“Bersempena Hari Landskap Negara 2026, sukacita saya mengumumkan kerjasama KPKT melalui Jabatan Landskap Negara bersama UN-Habitat dalam membangunkan MY Public Space bagi memperkasa pengurusan ruang awam berasaskan amalan terbaik antarabangsa yang disesuaikan dengan keperluan serta aspirasi pembangunan bandar Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Landskap Negara 2026 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stadium Hang Jebat, di sini, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum serta Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin.
Turut hadir Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu; Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib serta Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara Datuk TPr. Rozihan Abdul Ghani.
Mengulas lanjut, Kor Ming berkata, pelaksanaan MY Public Space akan memberi tumpuan kepada empat aspek utama.
Katanya, ia meliputi pembangunan kerangka pengiktirafan nasional yang sejajar dengan Anugerah Rosa Sinensis, pelaksanaan projek rintis MY Public Space Toolkit, memperkukuh amalan pengurusan ruang awam serta mengarusperdanakan toolkit berkenaan dalam garis panduan dan dasar pembangunan landskap negara sebagai standard nasional.
Menurut beliau, kerjasama dengan UN-Habitat itu dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha meningkatkan standard ruang awam negara ke peringkat global, sekali gus mengangkat imej Malaysia sebagai peneraju pembangunan bandar mampan, inklusif dan berdaya huni.
“Ia bakal melonjakkan standard ruang awam kita ke peringkat global, sekali gus mengangkat imej Malaysia sebagai peneraju pembangunan bandar mampan, inklusif dan berdaya huni,” katanya.
Terdahulu, Kor Ming berkata, pelaksanaan inisiatif itu selaras dengan mandat Malaysia sebagai Presiden Perhimpunan UN-Habitat yang komited mempercepat pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) menerusi kerjasama antarabangsa yang lebih erat serta tindakan yang lebih berkesan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


