Sorting by

×

KPKT perkasa aset bomba, tingkat kesiapsiagaan hadapi bencana alam

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperkasakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerusi perolehan aset baharu dalam usaha menambah baik dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan agensi itu menghadapi bencana alam.

Menteri berkenaan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata perolehan aset baharu itu dibuat bagi menampung keperluan aset sedia ada supaya operasi menyelamat terutamanya di kawasan banjir, dapat dilaksanakan dengan lebih baik pada masa akan datang.

“Baru-baru ini saya bertemu dengan Datuk Seri Mustapa Mohamed (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) dan telah kemukakan permohonan untuk kita buat perolehan aset kebombaan yang jauh lebih tinggi.

“Ini termasuk penambahan aset sedia ada marin seperti bot dan aset yang canggih… sebagai contoh di kawasan banjir Taman Sri Muda sebelum ini ada kawasan yang sukar untuk kita masuk (menyelamat) sebab banyak kenderaan (di kawasan banjir), jadi mungkin kita boleh guna remote pelampung (kawalan jauh) bagi memudahkan urusan menyelamat yang telah banyak digunakan di seluruh dunia,’’ katanya.

Beliau berkata kepada pemberita ketika ditemui pada Perhimpunan Agung UMNO 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.

Reezal Merican berkata selain itu, kementerian juga akan memperkukuhkan aset udara bomba bagi operasi menyelamat terutamanya membabitkan kawasan banjir besar dan tanah runtuh.

“Bila ada tanah runtuh dan kawasan banjir yang menjadi pulau berlaku kesukaran untuk kita ke sana jadi apabila ada pengangkutan ini (helikopter) memudahkan pergerakan pasukan penyelamat.

“Saya juga akan pastikan dalam tempoh saya menjadi menteri, saya akan sedaya upaya letakkan agensi bomba dalam kesiapsiagaan pada tahap paling tinggi supaya rakyat lebih yakin dan rasa selamat dengan kemampuan pasukan penyelamat kita,” katanya.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

983
Kongsi :
Previous post Lebih RM400 juta baik pulih runtuhan cerun di jalan persekutuan seluruh negara
Next post Kerja-kerja tanam rumput baharu Stadium Nasional bermula Januari 2023
Ubah saiz-+=