KPLB lindungi aset di luar negara elak dijadikan sasaran tuntutan waris kesultanan Sulu

Masa Membaca:59 Saat

KUALA NERANG, 14 Julai – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan melindungi aset-aset kementerian itu di luar negara bagi memastikan aset berkenaan tidak menjadi sasaran tuntutan oleh pihak luar yang mendakwa sebagai waris kesultanan Sulu.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kementerian menerusi beberapa agensinya terutama Majlis Amanah Rakyat (Mara) memiliki aset di beberapa negara.

Difahamkan Mara memiliki aset termasuk bangunan antaranya di Melbourne, Australia; London, United Kingdom; Washington, Amerika Syarikat dan Mesir.

Mahdzir berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Taklimat Khas PROSPEK Pedu, di sini hari ini apabila diminta mengulas tindakan kementerian untuk melindungi aset di luar negara susulan laporan mengenai aset dua anak syarikat Petronas di Azerbaijan dirampas waris kesultanan Sulu, yang menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia.

Mahkamah Rayuan Paris bagaimanapun membenarkan permohonan Kerajaan Malaysia untuk menggantung penguatkuasaan Final Award yang dikeluarkan Mahkamah Arbitrasi Paris, dengan alasan perundangan kes itu menjejaskan kekebalan kedaulatan Malaysia.

Mahdzir berkata kementerian memantau perkembangan isu itu dan telah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung perkara itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1184
Kongsi :
Previous post Mereka tak suka kerajaan negeri aman, tenteram – KM
Next post Pastikan operasi penerbangan Batik Air ke Pulau Pinang, Pekanbaru lancar
Ubah saiz-+=