Sorting by

×

KPWKM maklum sesetengah polis enggan terima laporan keganasan rumah tangga

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

PUTRAJAYA, 28 Mac – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) maklum sesetengah anggota polis enggan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga dengan alasan ia adalah isu keluarga.

Sehubungan itu, Menterinya Datuk Seri Rina Harun menasihatkan mangsa untuk segera ke hospital dan mendapatkan laporan perubatan.

“Laporan daripada hospital dapat diguna pakai supaya pihak polis tak boleh menidakkan laporan yang mereka buat,” katanya kepada media selepas melancarkan Buku Wanita Bangkit di sini hari ini.

Rina berkata Jabatan Kebajikan Masyarakat pula akan mengeluarkan Perintah Perlindungan Kecemasan (EPO) bagi mengasingkan suami dan isteri sekiranya didera.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keluhan segelintir mangsa keganasan rumah tangga bahawa mereka berdepan dengan kesukaran untuk melaporkan keganasan yang berlaku kerana sesetengah anggota polis enggan mengambil laporan kerana mendakwa ia melibatkan masalah keluarga.

Rina berkata pihaknya juga akan membawa isu keengganan menerima laporan mangsa keganasan rumah tangga itu, semasa sesi libat urus bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Isu dengan balai polis kita akan buat semakan dan libat urus dengan KDN supaya masalah ini dapat diatasi.

“Kita tahu isu-isu seperti ini, ada unit Bahagian Siasatan Seksual, Penderaan dan Kanak-kanak (D11), itu di bawah KDN. Perkara ini inputnya akan kita masukkan dalam perbincangan seterusnya sebab perbincangan kita sentiasa berjalan,” katanya.

Mengenai buku Wanita Bangkit, Rina berkata buku itu memuatkan 34 kisah benar yang digarap daripada pengalaman klien agensi di bawah KPWKM, dengan naratifnya bakal membangkitkan semula semangat dan motivasi golongan wanita walau dirundung dalam apa jua keadaan.

Buku Wanita Bangkit hasil kerjasama KPWKM melalui Institusi Sosial Malaysia dan Akademi Bonda Nor dijual di beberapa kedai buku pada harga promosi RM35.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1008
Kongsi :
Previous post Mayat lelaki tanpa identiti ditemukan dalam longkang
Next post Gempa bumi lemah berlaku di Beluran, Sabah
Ubah saiz-+=