Kraf tangan beridentiti Melaka bantu promosi TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

DURIAN TUNGGAL 26 Disember – Semua usahawan kraf tangan Negeri Melaka yang berdaftar diminta untuk menghasilkan produk beridentitikan Negeri Melaka sempena Tahun melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraf Malaysia Cawangan Melaka, Nur Ithnani Ilyana Alias berkata, setakat ini seramai 182 usahawan Melaka telah berdaftar di bawah Kraftangan Malaysia melibatkan lima bidang iaitu hasil tanah, logam, tekstil, aneka kraf dan rimba.

“Usahawan perlu ambil peluang mempromosi produk mereka dengan menghasilkan produk yang mempunyai motif atau identiti Negeri Melaka.

“Kita mahu apabila pelancong melihat produk dihasilkan ini, mereka akan tahu itu adalah produk di Negeri Melaka, sebagai contoh produk bermotifkan bunga kesidang, cucuk sanggul, tangga Melaka, kereta lembu dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada program Craft Media Tour Negeri Melaka di De Legend Craft Enterprise, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Ithnani Ilyana berkata, setakat ini seramai empat usahawan kraf tangan Melaka telah mencapai Standard Kraftangan Malaysia.

“Mereka ini terdiri daripada usahawan bidang tekstil, hasil logam dan hasil rimba, menerusi standard ini usahawan dinilai berdasarkan tiga kriteria iaitu keaslian, kualiti dan pembuatan serta inovasi produk.

“Insya-Allah, tahun hadapan usahawan yang mencapai standard ini akan bertambah kerana empat usahawan yang terima standard kraf tangan ini adalah permulaan.

“Justeru itu kita minta sekurang-kurangnya seramai 10 usahawan lagi akan menghantar permohonan untuk mendapatkan standard ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

824
Kongsi :
Previous post Pemuda liwat rakan sebilik ditahan
Next post KIAM’23: 20 pasangan mualaf kahwin percuma
Ubah saiz-+=