Kuala Linggi pusat pelancongan, perdagangan masa depan

Masa Membaca:4 Minit, 49 Saat

KUALA LINGGI 27 September – Walaupun terletak di kawasan luar bandar, Kuala Linggi sebenarnya mempunyai potensi besar untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi Negeri Melaka.

Antara kekuatan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terletak di kawasan paling Utara Melaka itu adalah kedudukannya yang bersempadan dengan Negeri Sembilan, memiliki pantai indah menjadi persinggahan pelancong selain beberapa perancangan lain kini sedang di peringkat pelaksanaan.

Kekuatan itu digunakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Linggi, Rosli Abdullah yang membayangkan DUN berkenaan berkembang sebagai pusat pembangunan dan tumpuan pelbagai sektor terutama pelancongan dan perdagangan selepas ini.

Bagi Rosli, kekuatan Kuala Linggi kini terkenal sebagai pusat pelancongan rekreasi pantai akan terus diperkasa dengan sub-sektor pelancongan khazanah warisan, eko pelancongan dan perikanan.

MINI SUNGAI MELAKA

Bagi menambah tarikan pelancongan Rosli berkata, satu pintu gerbang baharu akan dibina di sempadan Melaka, Negeri Sembilan di Jambatan Kuala Linggi yang bakal menjadi mercu tanda baharu di negeri ini.

5
MENYERTAI program gotong-royong membersihkan Fort Supai Kuala Linggi.

Katanya, selain itu, terusan sepanjang kira-kira tiga kilometer dari Pekan Kuala Sungai Baru ke Universiti Melaka (Unimel) bakal dinaik taraf dengan dilengkapi kemudahan rekreasi dan tapak untuk peniaga kecil.

Antara kemudahan yang bakal dibina adalah laluan pejalan kaki dan trek basikal selain sistem pencahayaan sepanjang terusan mengambil inspirasi pembangunan Sungai Melaka.

“Mengikut perancangan lokasi itu juga akan dilengkapi kemudahan sukan kayak dan skuter elektronik, diharapkan selepas ini terusan berkenaan akan meriah dengan aktiviti rekreasi serta perniagaan.

“Setakat ini perancangan ini dalam proses kajian pelbagai pihak termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka. Bagi proses pembangunan menyeluruh di kawasan itu akan membabitkan pemasangan cerucuk dan batu sangkar untuk mengelakkan mendapan tanah,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di Pejabat Kompleks Japerun Kuala Linggi, di sini, baru-baru ini.

TANGANI ANCAMAN HAKISAN

Mengulas lanjut, Rosli berkata, pihaknya komited dalam memastikan keindahan pantai di DUN itu kekal dipulihara dan perancangan menangani ancaman hakisan antara yang diberikan fokus utama oleh Rosli.
Katanya, setakat ini kerja-kerja memasang tembok penahan ombak di beberapa lokasi giat dijalankan bagi memastikan isu hakisan pantai yang memberi kesan kepada nelayan mampu diatasi.

“Kita akan pastikan selepas ini, seluruh pantai di Kuala Linggi sehingga ke Tanjung Bidara akan ditambak dengan pasir bagi mengekalkan ekosistem yang ada.

“Selain itu, pembangunan sektor perkhidmatan chalet dan resort akan terus dipertingkatkan bagi membantu pengusaha terlibat terus maju ke hadapan pasca COVID-19,” katanya.

4
TURUN padang melihat masalah jalan tidak rata di sempadan Melaka-Negeri Sembilan.

TARIKAN EKO RIMBA DI SUNGAI LINGGI

Dalam pada itu, Rosli memaklumkan, kawasan sedia ada di sempadan Melaka dan Negeri Sembilan akan terus diperkasa dengan pembangunan pelancongan berkonsepkan Eko-Rimba.

Menurutnya, kemudahan sedia ada yang kini terbiar akan diberi wajah baharu, namun memerlukan sokongan dan kerjasama daripada pelbagai pihak terutama Kerajaan Pusat agar mampu memberikan pulangan dalam bentuk penjanaan pendapatan kepada penduduk Kuala Linggi.

Beliau menjelaskan, kemudahan di tebing Sungai Linggi itu perlu segera dibaik pulih, kerana tarikan eko rimba di sekeliling mampu dikembangkan sebagai produk pelancongan baharu.

“Kita harap kerajaan ada satu garis panduan baharu bagi menstruktur semula pembangunan pelancongan yang betul-betul terdapat di titik sempadan negeri ini, sekali gus menarik lebih ramai pelancong,” katanya.

‘TAK LUPAKAN NELAYAN’

Dalam melestarikan pembangunan setempat, usaha mengangkat golongan nelayan tidak dilupakan kerana mereka adalah sebahagian daripada ‘aset’ menjadi tarikan dalam memperkasakan lagi aktiviti pelancongan di kawasan itu.

3
ROSLI ketika menyantuni penduduk kurang bernasib baik di Kuala Linggi.

Selain menangani hakisan pantai beliau akan memastikan komuniti nelayan turut memperoleh manfaat daripada setiap pembangunan yang dijalankan.

“Mungkin selepas ini nelayan boleh jana pendapatan tambahan. Beberapa jeti nelayan sedia ada kita akan naik taraf biarlah mereka dapat jalankan aktiviti menangkap ikan dengan lebih selesa.

“Kita akan pastikan jeti-jeti nelayan dan kawasan meletak bot akan dinaik taraf untuk keselesaan mereka,” katanya.

Hasrat bagi mengangkat kemajuan ekonomi peniaga kecil di Kuala Linggi diperkasa dengan idea utama menjadikan tapak stesen bas Kuala Linggi sebagai pusat perniagaan dan lokasi rehat dan rawat (RNR) di jalan yang menghubungkan Melaka serta Negeri Sembilan.

Beliau akan memastikan seluruh lokasi itu akan dijadikan pusat tumpuan baharu bagi menggalakkan perniagaan kecil termasuk kraftangan dan produk keluaran penduduk kampung.

“Kita sedang mengesan lot perniagaan di stesen bas yang kosong untuk diisi olehpeniaga baharu agar kawasan itu terus ‘hidup’ dengan tarikan baharu menawarkan pelbagai jenis jualan kepada pengunjung yang singgah,” katanya.

PUSAT PERDAGANGAN DUNIA DI KUALA LINGGI

Pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) tidak lama lagi menyakinkan Rosli bahawa DUN itu akan menjadi sebagai sebuah bandar baharu di Negeri Melaka berikutan kepadatan penduduk dijangka meningkat.

Berikutan itu beliau sedang mengenal pasti beberapa tapak bagi pembinaan perumahan baharu termasuk kediaman bertingkat untuk menampung keperluan tempat tinggal sepanjang pembinaan KLIP nanti.

Perhatian juga diberikan keapda penguraian trafik yang kini menjadi masalah utama di Kuala Linggi terutama pada waktu puncak dan musim cuti.

“Kajian terperinci sedang dilakukan semua pihak bagi memastikan penguraian trafik di Kuala Linggi berjalan dengan lancar.

“Aspek keselamatan jalan raya seperti selekoh bahaya di Teluk Belanga juga diberi perhatian, laluan itu sedang dinaik taraf. Dalam hal ini saya amat berterima kasih kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Melaka,” katanya.

1
ROSLI

BIODATA

Nama: Rosli Abdullah
Umur: 54

Karier:-
– Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Linggi (2021 – kini)
– Guru (1997-2021)

Pendidikan:-
– Ijazah Sarjana Muda Kepujian (Bahasa Dan Linguistik Melayu)

Politik:-
– Setiausaha Pemuda UMNO Cawangan Kg. Baru
– Setiausaha UMNO Cawangan Kg. Baru

 

INFO DUN KUALA LINGGI

Jumlah penduduk : 14,748

Kampung : 25
Taman Perumahan : 19

Rumah Ibadat:-
Masjid: 10
Surau: 22
Tokong: 4
Kuil: 1

Institusi Pendidikan:-
Sekolah Kebangsaan: 8
Sekolah Menengah: 2
Sekolah Rendah Agama JAIM: 5
IPTA/IPTS: 2
Tadika: 11

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4693
Kongsi :
Previous post Kes culik kanak-kanak: Polis minta henti sebar maklumat tidak tepat
Next post Kereta mewah antara tiga kenderaan musnah dalam kebakaran
Ubah saiz-+=