Kursus percuma buat OKP bantu jana pendapatan

Masa Membaca:2 Minit, 17 Saat

TELOK MAS 4 Februari – Kursus pendek kemahiran secara percuma masih dibuka buat Orang Kena Pengawasan (OKP) di negeri ini bagi memastikan golongan itu mampu menjana pendapatan dalam menyara kehidupan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, pihaknya menyeru kepada semua OKP perlu mempunyai kesedaran bagi mencari jalan terbaik untuk memajukan ekonomi diri sendiri daripada tersasar dengan kancah masa lampau mereka.

Rentetan itu beliau berkata, pihaknya bersedia membantu golongan ini dalam pelbagai bentuk sokongan dan kewangan bagi memastikan usaha memajukan golongan ini daripada terhindar dari najis dadah dan jenayah dapat dibendung di negeri ini.

“Setakat ini menerusi JKPD Daerah Melaka Tengah kita telah menawarkan 10 individu untuk menyertai kursus asas kemahiran gunting rambut bagi lelaki dan kulinari bagi wanita agar ilmu yang disalurkan ini mampu memberi impak kepada mereka bagi menjana pendapatan pada masa akan datang.

“Setakat ini hanya seorang yang menyatakan minat itu dan kita berharap mereka ini perlu sedar bagi memastikan perkara ini tercapai kerana ramai yang menyatakan hasrat ini terbatal akibat kewangan namun ia bukan menjadi ukuran kerana kita bersedia membantu dari sudut apa pun menerusi kerjasama daripada pelbagai pihak dan agensi penguatkuasa di negeri ini.

“Saya menyarankan kepada mereka untuk tampil bertemu dengan saya ataupun terus kepada mana-mana pusat Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di negeri ini untuk menyertai program yang ditawarkan ini kerana kita tidak mahu berikan mereka ikan tapi kita mahu berikan mereka mata pancing kerana mata pancing itu umpama ilmu buat mereka yang akan menjadi titik penyelamat bagi membantu mereka meneruskan kehidupan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Sentuhan Kasih Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Melaka Tengah dan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak (P3K) Daerah Melaka Tengah dengan Kerjasama PDRM, Japerun Telok Mas, AADK Melaka Tengah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Balai Raya Baruh Alai, di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam program diadakan pagi tadi telah dirasmikan Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Abu Sama disaksikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

0145EED0-FBAA-4E01-BB1A-07D235F71B76
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah Negeri Melaka, Datuk Akramuddin Abd Aziz. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, Akramuddin berkata, bagi memperluaskan hasrat itu di negeri ini satu perbincangan akan diadakan menerusi AADK dan JKPD daerah masing masing di Melaka bagi memastikan ia diperluaskan di seluruh negeri.

Katanya ia sekali gus akan membuka peluang besar kepada golongan OKP untuk menjana pendapatan setelah tergelincir dari kehidupan mereka akibat diinjak pengaruh najis dadah dan jenayah sebelum ini.

“Perkara ini sudah ditawarkan hampir dua tahun tapi kita tidak nampak minat mereka dalam program ini jadi kita akan pastikan hasrat ini tercapai dengan kerjasama dari semua pihak dan agensi di Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1949
Kongsi :
Previous post Empat wanita antara lima ditahan berhubung kes bunuh rakan sekerja
Next post Hasni tawar diri bertanding Naib Presiden UMNO
Ubah saiz-+=