Hasni tawar diri bertanding Naib Presiden UMNO

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

JOHOR BAHRU, 4 Feb –  Bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor  Datuk Seri Hasni Mohammad hari ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan akan datang.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu menawarkan diri bertanding jawatan berkenaan bagi memantapkan parti.

“Saya menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti kali ini. Saya percaya ramai tokoh lain termasuk penyandang Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan mempertahan dan bertanding jawatan itu.

“Atas semangat untuk terus menyumbang bakti kepada parti pada semua peringkat, maka saya tawarkan diri untuk bertanding,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Khas Badan Perhubungan UMNO Johor, di sini, hari ini.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut, berkata UMNO masih parti yang relevan terutama dengan jangkaan hampir 10 pemimpin dijangka menawarkan diri mempertahan dan bertanding jawatan Naib Presiden.

“Dikatakan ada 10 penjuru pertandingan jawatan Naib Presiden (sekali gus) membuktikan walau apa jua dikata orang terhadap UMNO termasuk ditolak masyarakat dan tidak relevan, namun ia terus jadi pilihan. Saya melihat ramai pemimpin yang tampil untuk tawar diri itu adalah petanda positif untuk parti dan beri gambaran pimpinan UMNO tidak tinggalkan perjuangan parti,” kata bekas Menteri Besar Johor itu.

Semalam, Mohamed Khaled yang merupakan Menteri Pengajian Tinggi turut mengesahkan akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan UMNO 2023.

Pada 27 Jan lepas, Hasni digugurkan daripada jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, selepas menjawat jawatan itu sejak 2018 dan digantikan dengan Mohamed Khaled.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1397
Kongsi :
Previous post Kursus percuma buat OKP bantu jana pendapatan
Next post Jumlah OKP terlibat dadah meningkat lebih 11 peratus di Melaka
Ubah saiz-+=