Jumlah OKP terlibat dadah meningkat lebih 11 peratus di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

TELOK MAS 4 Februari – Melaka merekodkan peningkatan sebanyak 11.46 peratus individu di bawah Orang Kena Pengawasan (OKP) berikutan terlibat najis dadah sejak tahun lalu.

Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Abu Samah berkata, peningkatan itu susulan seramai 2,032 OKP direkodkan sehingga Disember tahun lalu di negeri ini berbanding hanya seramai 1,823 OKP pada tahun 2021.

Beliau berkata, jumlah itu melibatkan individu aktif yang dikenakan perintah pengawasan meliputi seramai 932 orang di daerah Melaka Tengah, 654 orang di Alor Gajah dan 446 orang di Jasin.

“Lebih menyedihkan ada sahaja penagih baharu terutama dalam kalangan remaja di bangku sekolah dan lepasan sekolah malah ada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) juga turut terjebak dalam perkara ini.

“Perkara seperti ini perlu ditangani segera kerana ia boleh merosakkan masa depan generasi muda dan akan melumpuhkan pembangunan fizikal dan rohani rakyat di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmiannya di Program Sentuhan Kasih Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Daerah Melaka Tengah dan Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak (P3K) Daerah Melaka Tengah dengan Kerjasama PDRM, Japerun Telok Mas,  AADK Melaka Tengah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat di Balai Raya Baruh Alai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri, Datuk Akramuddin Abdul Aziz.

Susulan daripada perkara yang berlaku di negeri ini, Zainol berkata, pihaknya akan berkerjasama erat bersama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bagi memastikan masalah dadah dapat diatasi sewajarnya di negeri ini.

Katanya, pelbagai program pendedahan selain program pemulihan OKP akan dilaksanakan pihaknya dengan kerjasama agensi lain bagi membanteras gejala itu.

“Polis juga tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan berlandaskan prinsip ‘rules of law’ bagi tindakan pencegahan dan tangkapan terhadap pengedar dadah sama ada skala kecil atau besar-besaran secara berterusan.

“Saya menyeru kepada semua rakyat agar menjaga keluarga dengan mengamalkan kehidupan yang sejahtera dan perlu prohatin dengan perubahan anak-anak agar mereka terhindar dari masalah dadah.

“Marilah kita berganding bahu agar komuniti kita terselamat daripada ancaman dadah agar modal indan kita dapat membesar dan menjadi generasi yang berdaya saing serta berjaya,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1922
Kongsi :
Previous post Hasni tawar diri bertanding Naib Presiden UMNO
Next post Gara-gara cinta maya, doktor rugi lebih RM90,000
Ubah saiz-+=