
KUTIPAN ZAKAT MELAKA KONSISTEN – AB RAUF
Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat
BANDARAYA MELAKA 8 September – Zakat Melaka menunjukkan prestasi amat memberangsangkan dan konsisten dalam pungutan zakat apabila merekodkan kutipan berjumlah RM88.79 juta setakat 31 Ogos lalu.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kutipan zakat pada 2024 turut menunjukkan peningkatan sebanyak 10.1 peratus atau RM141.3 juta berbanding tahun sebelumnya.
Ab Rauf berkata, zakat tidak terhenti sebagai kewajipan agama semata-mata tetapi ia adalah instrumen penting yang memperkukuhkan ekonomi ummah.
“Hasilnya dapat diagihkan semula bagi menyantuni asnaf dan membangunkan kesejahteraan masyarakat. Setakat 31 Ogos lalu, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) telah menyalurkan sejumlah RM104.66 juta yang memberi manfaat kepada 9,354 penerima yang berkelayakan.
“Inilah makna sebenar keprihatinan Kerajaan Negeri untuk terus memelihara kebajikan asnaf dengan memastikan setiap sen zakat diterima akhirnya kembali semula kepada masyarakat dalam bentuk keberkatan rezeki,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan McDonald’s Malaysia Dan Sumbangan Kotak Rezeki Kepada Asnaf Negeri Melaka, di Kota Laksamana, hari ini.
Yang turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin serta Exco Pembangunan Usahawan Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Allex Seah Shoo Chin.
Hadir sama, Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad; Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan Pengerusi Jawatankuasa Halal Dalaman McDonald’s Malaysia Azhar Darbi.
Menurut Ab Rauf, dengan kehadiran syarikat korporat seperti McDonald’s, Melaka akan kekal bukan sahaja sebagai destinasi pilihan yang menjana pekerjaan tetapi mengukuhkan ekonomi, sekali gus memberi manfaat berterusan kepada rakyat.
“Melaka merupakan destinasi kelapan bagi penyerahan zakat perniagaan oleh McDonald’s bagi tahun 2025 dengan jumlah RM150,000 hasil daripada keuntungan 15 buah restoran makanan segera itu di negeri ini.
“Dimaklumkan menjelang 2030 sebanyak tiga hingga lima cawangan baharu restoran terkemuka ini akan dibuka di Melaka dan sekaligus mewujudkan 350 peluang pekerjaan,” katanya.
Jelas beliau, agenda utama Kerajaan Negeriadalah untuk terus kekal komited dalam menyantuni rintihan rakyat.
Terdahulu pada majlis sama, turut disampaikan sumbangan Kotak Rezeki kepada 100 orang asnaf, kit sumbangan ‘Back To School’ untuk 50 pelajar golongan B40 serta pengedaran 1,000 set hidangan percuma kepada pelanggan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.
Views:
3356