KYS nafi benarkan pelajar berada di sekolah sehingga cetus kluster COVID-19

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

DURIAN TUNGGAL 1 Jun – Kolej Yayasan Saad (KYS) memberi penjelasan berhubung penularan COVID-19 membabitkan institusi pendidikan menengah swasta itu yang telah merekodkan Kluster Jalan Kolej Yayasan di negeri ini baru-baru ini.

KYS dalam satu kenyataan memaklumkan kluster berkenaan hanya timbul membabitkan pelajar Tingkatan 5 yang perlu berada di kolej berkenaan bagi menduduki peperiksaan antarabangsa yang dijadualkan pada 4 Mei hingga 11 Jun ini.

Ia sekali gus menepis kegusaran orang awam yang mempersoalkan bagaimana pelajar boleh berada di kolej berkenaan sedangkan kesemua sekolah telah diarahkan tutup pada awal bulan lalu.

“KYS merupakan sebuah institusi pendidikan menengah swasta yang menawarkan Kurikulum Nilai Tambah – KSSM berserta penerapan elemen kurikulum antarabangsa.

“Untuk makluman, pelajar yang berada di sekolah adalah pelajar Tingkatan 5 yang sedang menduduki peperiksaan antarabangsa Cambridge IGSCE yang dijadualkan pada 4 Mei hingga 11 Jun ini di KYS,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut situasi COVID-19 di kolej berkenaan kini terkawal dengan pelajar yang telah disahkan positif kini dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).

Sementara, peperiksaan Cambridge IGSCE yang ditetapkan juga akan berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Semua pelajar yang pulang ke KYS untuk mengambil peperiksaan Cambridge IGSCE juga telah disahkan negatif COVID-19 menerusi ujian calitan RTK-Antigen,” kata kenyataan itu lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

961
Kongsi :
Previous post ‘Lockdown’ yang suam-suam kuku?
Next post Lim Kok Wing meninggal dunia
Ubah saiz-+=