‘Lockdown’ yang suam-suam kuku?

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDA HILIR 1 Jun – Hari ini, tanggal 1 Jun 2021 bermulalah satu lagi episod sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’ di seluruh negara.

Pelaksanaan ‘lockdown’ selama dua minggu itu menyaksikan hampir kesemua sektor ekonomi dan sosial ditutup sepenuhnya bagi membendung penularan pandemik COVID-19.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di sekitar lokasi tumpuan, bagaimanapun menyaksikan masih terdapat banyak kenderaan berlegar-legar di sekitar Bandar Melaka dan Banda Hilir.

Sejak jam 10 pagi lagi, MHI mendapati tidak putus-putus kenderaan memasuki kawasan sekitar Banda Hilir.

Baik kereta, lori, motosikal mahupun basikal ada sahaja yang dikesan melalui lokasi tumpuan pelancongan ini.

Namun, tidak dapat dipastikan adakah kehadiran kenderaan yang banyak itu disebabkan orang ramai perlu keluar bekerja atau mahu membeli barangan keperluan.

Persoalannya, adakah ini yang dimaksudkan ‘total lockdown’ seperti yang diumumkan kerajaan?

MASIH banyak kenderaan terpaksa diperiksa pihak polis dalam sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan.

Situasi di sini nyata berbeza dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 pada Mac tahun lalu.

Pada ketika itu, boleh dikatakan amat susah untuk melihat kelibat kenderaan dan orang ramai keluar rumah seperti yang berlaku hari ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sendiri sudah banyak kali mengingatkan orang ramai supaya duduk di rumah jika tiada keperluan dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19 yang kini sudah memasuki fasa lebih bahaya apabila lebih banyak varian-varian baharu dikesan.

Namun, mengapa sukar untuk semua mematuhi arahan yang ditetapkan ini?

Adakah anda mahu melihat lebih banyak nyawa terkorban dek sikap sambil lewa? Tepuk dada tanyalah diri.

Apapun, diharapkan rakyat Melaka dapat mengambil iktibar daripada peningkatan kes dan jumlah kematian akibat COVID-19 sejak akhir-akhir ini.

Tempoh dua minggu ini amat penting untuk kita semua berganding bahu dalam memastikan sektor kesihatan awam kita tidak lumpuh dek wabak yang berbahaya ini.

Sekali lagi, ayuh kita sama-sama menyahut seruan duduk di rumah dan keluar hanya bila ada keperluan mendesak sahaja.

Kita sudah hampir menang sebelum ini, dan Insya-Allah kita boleh melakukannya sekali lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

732
Kongsi :
Previous post Bukan 10 peratus, sepatutnya percuma atau 50 peratus – Industri perhotelan
Next post KYS nafi benarkan pelajar berada di sekolah sehingga cetus kluster COVID-19
Ubah saiz-+=