KYSBS terima 30 pelajar baharu

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 21 Ogos – Kolej Yayasan Saad Business School (KYSBS) menerima 30 pelajar baharu yang dipilih untuk mengikuti program Asasi Perdagangan serta Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Perdagangan.

Ketua Eksekutif dan Naib Presiden KYSBS, Kamal Rashdi Rosli berkata, pelajar akan mengikuti pengajian selama dua tahun di KYSBS sebelum meneruskan pengajian ke universiti di New Zealand.

“Sepanjang dua tahun di KYSBS pelajar akan mengikuti program asasi perdagangan diikuti Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Perdagangan tahun pertama. Mereka ini juga layak menerima penajaan disediakan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Kami bekerjasama dengan tiga institusi pengajian tinggi bertaraf antarabangsa di New Zealand iaitu University of Auckland, University of Canterbury dan Victoria University of Wellington.

“Namun secara keseluruhan kami bekerjasama dengan lapan universiti di negara itu, jadi pelajar juga boleh melanjutkan pengajian ke institusi lain,” katanya ketika ditemui pada Hari Pendaftaran Pelajar Baharu KYSBS, di sini, hari ini.

photo_2023-08-21_14-09-32
Sebahagian dari pelajar baharu yang hadir sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baharu di Kolej Yayasan Saad Business School (KYSBS), Ayer Keroh. Foto Iqmal Haqim Rosman

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kluster Pembangunan Strategik Sebelum Perkhidmatan, Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA, Idayuwati Abdullah@Ab Rahman dan Ketua Penolong Pengarah Unit Pembangunan Sebelum Perkhidmatan Luar Negara Bahagian Modal Insan JPA, Mas Aidiff Mas’ut.

Bagaimanapun katanya, pelajar perlu melepasi syarat ditetapkan untuk melanjutkan pengajian seterusnya di New Zealand.

“Bagi pengajian asasi, syarat minimum ditetapkan adalah mencapai 80 peratus kredit atau markah untuk meneruskan pengajian ke tahun satu.

“Sementara itu daripada tahun satu untuk ke tahun dua di New Zealand, mereka (pelajar) perlu penuhi syarat iaitu 70 peratus markah keseluruhan pengajian. Ini juga penting bagi penajaan daripada JPA atau Mara dan pemilihan universiti ditentukan agensi serta jabatan berkenaan.

“Program Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Perdagangan secara keseluruhan memakan masa empat tahun iaitu dua tahun di KYSBS serta dua tahun lagi di New Zealand,” katanya.

Menurutnya, sejak 2013 sehingga kini, KYSBS telah melahirkan seramai 953 graduan menerusi kerjasama universiti-universiti di New Zealand.

“Alhamdulillah, hampir 100 peratus pelajar lulusan KYSBS mendapat pekerjaan yang mereka inginkan selepas menamatkan pengajian.

“Bagaimanapun kita galakkan pelajar yang sudah tamat pengajian memilih untuk berkhidmat di sektor awam, tetapi mereka juga dibenarkan untuk berkhidmat di sektor korporat dan swasta,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2217
Kongsi :
Previous post Suntik peruntukan, insentif kembangkan ekonomi Melaka
Next post Melaka persinggahan pertama Jelajah Belanjawan 2024
Ubah saiz-+=