Lahirkan atlet papan selaju ‘made in’ Kampung Jawa, Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

Oleh: Faris Haikal Zakaria dan Adam Daniel Roslan

MESKIPUN dianggap ekstrem dan berisiko, namun sukan papan selaju atau ‘skateboard’ ini nyata mempunyai peminatnya yang tersendiri.

Ia diakui pemilik bangunan ‘skatepark’ di Kampung Jawa, Mohd Qamar Zamri Zaminhuri, 36 yang menerima sambutan cukup baik daripada pengunjung terutamanya remaja sejak dibuka 3 Julai lalu.

Mohd Qamar yang pernah mengalami kecederaan tulang belakang ketika memacu papan selaju menyifatkan sukan itu mempunyai potensi untuk dibangunkan di Melaka memandangkan ramai bakat baharu yang boleh diketengahkan.

“Sebenarnya sukan ini diminati sejak dahulu lagi malah di sini ramai yang datang adalah perempuan. Mereka suka dengan sukan lasak.

“Saya sendiri aktif bermain ‘skateboard’ tetapi ketika itu memang susah hendak bermain sehingga terpaksa mencari ‘port’ di kawasan perumahan dan tanah lapang.

“Jadi apa salahnya saya wujudkan tempat ini untuk mereka bermain di gelanggang yang sebenar. Sejak buka tempat ini memang ramai orang datang malah sebahagiannya cukup berbakat,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

MOHD Qamar Zamri Zaminhuri, 36, menunjukkan kemahirannya bermain papan selaju. Foto Iqmal Haqim Rosman

Dalam pada itu, Qamar juga menangkis dakwaan kononnya sukan itu hanyalah bersifat jalanan dan boleh menggugat ketenteraman awam sebaliknya melihat ia mempunyai potensi untuk dibangunkan sekiranya menggunakan gelanggang sebenar.

Justeru menurut Mohd Qamar, kerajaan negeri menerusi kementerian belia dan sukan (KBS) perlu memikirkan alternatif untuk mengangkat sukan itu ke peringkat lebih tinggi.

“Kita perlu meningkatkan fasiliti sukan skateboard sekurang-kurangnya dengan menyediakan satu tempat khusus untuk berlatih dan sebagainya tanpa gangguan.

“Tempat saya ini, kami bersedia melatih mereka dan memberikan panduan asas bagaimana untuk memacu papan selaju itu mengikut teknik-teknik bagi melepasihalangan di gelanggang.

“Semoga satu hari nanti akan lahir seorang atlet sukan ekstrem ini mewakili Sukan SEA atau Olimpik lahir dari Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1597
Kongsi :
Previous post Sistem pengairan sempurna bantu tingkat hasil padi
Next post Ekopelancongan Paya Lebar ibarat bulan jatuh ke riba
Ubah saiz-+=