Laluan Batang Kali – Genting Highlands dibuka semula esok

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

KUALA LUMPUR, 5 Jan – Laluan Batang Kali – Genting Highlands Seksyen 14, Hulu Selangor, yang ditutup sejak 16 Dis lepas ekoran tragedi tanah runtuh akan dibuka semula pada 5 petang esok dengan kawalan pihak berkuasa.

Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam kenyataan hari ini memaklumkan laluan sementara akan dibuka satu lorong sahaja dan terhad kepada pekerja di kawasan Genting Highlands yang mempunyai surat pengesahan majikan selain kenderaan kelas 1 (motokar, teksi dan kenderaan pelbagai guna) serta kenderaan kelas 6 (motosikal dan skuter).

Menurut JKR, pengguna yang menggunakan laluan tersebut tidak dibenarkan berhenti di kawasan kejadian tanah runtuh.

“Pengguna hendaklah berhati-hati ketika melalui laluan tersebut dan sila patuhi arahan papan tanda yang telah disediakan kerana kerja-kerja pemantauan cerun masih berjalan,” menurut kenyataan itu.

JKR turut menyarankan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif iaitu laluan Ulu Yam – Batu Caves dan laluan Kuala Lumpur – Ipoh bagi mengurangkan risiko kesesakan.

Orang awam boleh menghubungi JKR Hulu Selangor di talian 03-60641046, 03-60641146, 03-60641058 dan 03-60641073 untuk sebarang pertanyaan.

Tragedi tanah runtuh yang berlaku pada 2.42 pagi, 16 Dis lepas di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya itu menyaksikan 31 nyawa terkorban dan 61 selamat daripada keseluruhan 92 mangsa yang dilaporkan terbabit dalam kejadian itu.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1865
Kongsi :
Previous post Piala AFF: 59,000 tiket dalam talian habis dijual
Next post Sektor pertanian, agromakanan rugi RM111.95 juta akibat banjir
Ubah saiz-+=