Laluan kontra Jalan Little India-Banda Kaba beroperasi 15 Disember depan

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

PUTRAJAYA 4 Disember – Laluan kontra menghubungkan Jalan Little India ke Banda Kaba akan beroperasi bermula 15 Disember depan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu dilaksanakan bagi memastikan kesesakan trafik di Banda Hilir dapat diatasi dalam tempoh pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan.

Menurutnya, ia sekali gus mampu mengurangkan kadar 40 peratus kesesakan yang berlaku pada waktu puncak sebelum ini.

“Pada 15 Disember ini jalan yang memasuki ke Bandaraya Melaka akan diperkenalkan dengan pelaksanaan laluan kontra untuk mengurangkan kesesakan.

“Ia sebagai langkah penambahbaikan dalam pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan dan ini adalah antara alternatif yang diambil bagi menyuraikan kesesakan trafik di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat ‘Kick-Off’ Penganjuran Hari Pelancongan Dunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Dunia (WTC) 2025 di Bilik Mesyuarat Perdana, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, di sini hari ini.

Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari; Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Roslan Abdul Rahman; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan.

Turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Md Azhan Samat; Pegawai Kewangan Negeri; Datuk Salhah Salleh; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron serta tetamu lain.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, penambahbaikan prasarana dan logistik di Melaka merupakan antara perhatian Kerajaan Negeri bagi memastikan kemasukan pelancong dan keselesaan rakyat dapat dimanfaat.

Katanya ia juga sebagai langkah awal persediaan Melaka bakal berdepan tiga acara utama iaitu Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), WTD dan WTC pada tahun 2025.

“Kita akan memastikan persediaan dari sudut logistik dan prasarana ini akan dilaksanakan bagi memastikan kedatangan pelancongan dapat disambut baik sempena penganjuran itu,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1094
Kongsi :
Previous post Melaka tambah baik prasarana, logistik sektor pelancongan
Next post Letupan, percikan bunga api kebakaran kilang mungkin berpunca daripada bateri – Bomba
Ubah saiz-+=