Laman MPJ tercantik di Pesta Bunga Melaka 2022

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 30 Disember – Konsep landskap santai yang diketengahkan Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) pada pertandingan Garden Showcase Tercantik Pesta Bunga Melaka 2022 membawa tuah apabila dinobatkan johan pertandingan itu.

Yang Dipertua MPJ Datin Sapiah Haron berkata, suasana yang tenang dan santai selepas seharian bekerja nyata diingini untuk berehat, jadi pihaknya menonjolkan beberapa gabungan antaranya deruan air serta bauan bunga bagi menghasilkan suasana semulajadi yang nyaman.

Katanya, bagi menyiapkan dekorasi taman itu juga, pihaknya menggunakan kira-kira 49 spesies bunga antaranya Poinsettia Pink, bunga matahari, Scarlet Star dan Rosa Landora.

“Selain itu kita juga menggunakan elemen kreativiti dengan membina replika setanjak yang dinamakan ‘Tengkolok Dendam Tak Sudah’ sebagai pintu gerbang. Umumnya tahu setanjak adalah ‘sculpture’ rasmi daerah Jasin, jadi ini memberi sentuhan idea yang luar biasa serta moden.

“Malah pembinaan pagar buluh yang bewarna terang menimbulkan suasana asli dan desa sekaligus mencipta ruang yang indah, selesa serta dekoratif kepada individu yang inginkan ketenangan,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Pesta Bunga Melaka 2022 yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Mohd Ali Mohd Rustam di Taman Seribu Bunga, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Datuk Zaidi Johari; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Datuk Muhammad Jailani Khamis; Exco Perpaduan, Penerangan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Ngwe Hee Sem serta Pegawai Kewangan negeri, Datuk Salhah Salleh.

Sapiah berkata, replika setanjak yang dibina pada pesta itu akan digunakan semula dengan meletakkannya di Bulatan Rim pada masa terdekat.

Terdahulu, di Garden Showcasa MPJ itu juga, turut diketengahkan produk keluaran daerah itu iaitu biskut tongkat yang dihidangkan kepada pengujung untuk dinikmati bersama kopi panas.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

5228
Kongsi :
Previous post Kedatangan pelancong ke Melaka meningkat
Next post Covid-19: Sampel air kumbahan pesawat penumpang dari China diuji
Ubah saiz-+=