Lambat ambil tindakan punca kanser servik merebak

Masa Membaca:3 Minit, 13 Saat

KANSER pangkal rahim (servik) adalah bahagian pangkal atau bawah rahim yang bersambung dengan vagina di mana sel-sel di servik membiak secara luar biasa.

Rata-rata golongan wanita di negara ini lambat mengesan simptom-simptom penyakit itu dan punca sebenar tidak diketahui hingga mendatangkan risiko buat si penghidap.

Konsultan Onkologi Klinikal Pantai Hospital Ayer Keroh, Dr. Joel Gabriel Nonis berkata, kanser servik ialah kanser yang sering berlaku dan kerap dalam kalangan wanita.

“Mengikut rekod dalam tempoh empat tahun bermula 2012 hingga 2016 dianggarkan sebanyak 1,000 kes kanser servik setiap tahun di seluruh negara.

“Manakala, untuk Negeri Melaka dalam tempoh yang sama sebanyak 157 kes direkodkan di mana secara purata sebanyak 40 kes setahun,” katanya ketika ditemu MHI, baru-baru ini.

DR NONIS menerangkan bagaimana kanser servik berlaku.

 

KANSER SERVIK MENGIKUT PERINGKAT

Menurutnya, kes yang dikesan bagi kanser servik ialah 40 peratus dalam peringkat tiga dan empat, 60 peratus peringkat satu dan dua.

“Ini membimbangkan kerana ramai pesakit datang lambat, lebih lambat kes mereka dikesan, peratusan pulih menjadi lebih rendah.

MESIN radioterapi yang digunakan bagi rawatan luaran (Teleterapi).

 

PERATUSAN UNTUK SEMBUH

Katanya, peluang untuk sembuh bagi peringkat satu ialah 80 hingga 90 peratus, peringkat dua 60 hingga 80 peratus, peringkat tiga kurang 50 peratus dan peringkat empat A 20 hingga 30 peratus diikuti peringkat 4 B kurang 10 peratus.

“Justeru, golongan wanita yang sudah berkahwin dan aktif hubungan seks perlu membuat ujian Pap smear yang boleh didapati di klinik kerajaan dan swasta.

“Jika di klinik kerajaan, ujian ini boleh dibuat secara percuma sahaja, dan mereka perlu buat ujian ini setiap dua tahun sekali,” katanya lagi.

 

SIMPTOM UTAMA KANSER SERVIK

Terdapat tiga simptom utama penyakit itu seperti abnormal vagina bleeding, lendir atau cecair keluar dari faraj dan hubungan kelamin yang berdarah.

“Ini tanda yang penting dalam simptom awal kanser servik, kanser ini berpunca daripada virus iaitu ‘human papillomavirus (HPV)’ 16 dan 18 yang kerap dijumpai.

“Terdapat beberapa vaksin untuk mencegah virus ini seperti vaksin HPV bivalent yang diberi di sekolah bermula Tingkatan 1 sebanyak tiga dos.

“Selain, vaksin quadrivalent (kawal empat virus) dan vaksin nanovalent (kawal sembilan virus),” katanya.

 

KAEDAH RAWATAN YANG DIJALANKAN

Dr. Nonis berkata, pihak hospital akan mengesan kanser tersebut dan bahagian onkologi akan membuat pemeriksaan untuk memastikan tahap atau peringkat kanser itu sebelum membuat rawatan.

“Kalau peringkat pertama, rawatan boleh dibuat melalui dua cara iaitu radioterapi dan kimoterapi, atau pembedahan yang dibuat pakar sakit puan yang terlatih.

“Tetapi terdapat pesakit yang tidak sesuai untuk buat pembedahan, yang mengambil masa enam ke tujuh jam. Kalau pesakit terlalu tua atau ada masalah kesihatan, mereka hanya buat radioterapi dan kimoterapi,” katanya.

“Bagi pesakit peringkat dua hingga empat, pembedahan tidah sesuai dan kena buat radioterapi dan kimoterapi.

“Radioterapi ada dua fasa, fasa pertama kami rawat dari luar (Teleterapi) yang mengambil masa 4 ke 5 minggu, selepas itu baru buat rawatan dalaman (Brakiterapi),” katanya.

Katanya, sistem brakiterapi yang diimport dari Germany menggunakan kadar dos tinggi yang mempunyai intensiti lebih tinggi.

“Pesakit yang buat kadar dos rendah dahulu kena masuk hospital empat hari, tetapi kadar dos tinggi tak perlu masuk wad dan rawatan ambil masa dua jam saja.

“Mereka boleh datang sebagai pesakit luar, kena buat tiga ke empat sesi kali bergantung kepada individu itu sendiri.

DR NONIS menunjukkan mesin sistem brakiterapi yang digunakan sejak Oktober 2019.

 

BRAKITERAPI SISTEM BAHARU DI PANTAI HOSPITAL AYER KEROH MELAKA 

Tambahnya, sistem brakiterapi mula digunapakai Oktober 2019 selepas ianya diluluskan kerajaan.

“Pantai Hospital Ayer Keroh merupakan hospital swasta yang pertama miliki mesin ini dalam Wilayah Selatan, Semenanjung Malaysia.

“Kes pertama pada 12 November lalu, setakat ini ada 24 pesakit yang sudah menggunakan mesin ini dan sebanyak 74 sesi telah dilakukan dan ada tempahan rawatan sehingga bulan September,” katanya.

Views:

1607
Kongsi :
Previous post Kakitangan MBMB bantu tabung darah Hospital Melaka
Next post Gunakan lori pindahkan pesakit
Ubah saiz-+=