Langkah desak sidang Parlimen untuk kepentingan rakyat

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 22 Jun – Kerajaan tidak perlu bimbang terhadap pendirian tegas UMNO yang menggesa persidangan Parlimen dilakukan secepat mungkin kerana ia membabitkan kepentingan rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Rais Yasin berkata, desakan itu sebagai langkah untuk mentaati dan menghormati pandangan dititahkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-raja Melayu.

Beliau berkata, pandangan Seri Paduka Baginda berteraskan kepada kepentingan rakyat terutama dalam usaha kerajaan bersama Ahli Parlimen menangani penularan pandemik COVID-19.

Dalam pada sama, beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO turut membidas kenyataan pemimpin sebuah parti politik di negeri ini yang mengkritik Pemuda UMNO kononnya desakan untuk mempercepatkan persidangan Parlimen dilakukan atas agenda tersirat dan bukannya demi kepentingan rakyat.

“Secara peribadi terus-terang saya melihat kenyataan beliau itu dangkal dan mencerminkan dirinya seolah-olah kurang peka terhadap titah Yang di-Pertua Agong serta Raja-raja Melayu yang mahu Parlimen bersidang secepat mungkin.

“Adakah beliau sedar dan faham bahawa Parlimen adalah medan terbaik untuk kita memastikan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani wabak COVID-19 ini dapat disemak dan diimbangi oleh semua ahli Parlimen yang mewakili rakyat di kawasan mereka.

“Mana mungkin Parlimen menjadi seperti yang didakwa beliau (ada agenda tersirat) kerana melalui Parlimen suara rakyat dapat didengari dan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dipelihara, dilindungi serta dipertahankan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.

Mengulas lanjut, Rais berkata sebagai pemimpin muda dalam satu organisasi parti politik seharusnya individu berkenaan bersikap lebih terbuka dan tidak perlu berdolak-dalik serta sangsi terhadap suara rakyat yang dibawakan oleh Pemuda UMNO.

“Adakah beliau masih tidak nampak keperluan ahli Dewan Rakyat untuk bersidang demi menyelesaikan segala isu yang membelenggu rakyat masa kini?

“Di sini prinsip UMNO jelas iaitu mahukan Ahli Parlimen yang dipilih rakyat mencari titik noktah terhadap kesengsaraan hidup rakyat yang semakin melarat.

“Pemimpin politik negeri itu seharusnya sedar rakyat sedang menilai kepemimpinan beliau sebagai wakil rakyat kerana banyak isu yang perlu segera diselesaikan seperti masalah banjir dan bantuan kepada rakyat selain fokus kepada tugas sebagai wakil rakyat tanpa sibuk berpolitik sepanjang masa,” katanya.

Sabtu lalu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, dilaporkan mendesak kerajaan mengeluarkan notis panggilan untuk membolehkan Parlimen bersidang sebelum Darurat tamat pada 1 Ogos ini.

Ia bagi mentaati dan menghormati pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-raja dan kegagalan menunaikan pandangan dizahirkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja itu boleh dianggap sebagai satu bentuk penderhakaan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

353
Kongsi :
Previous post Prebet Suria akhirnya miliki rumah sendiri
Next post Malaysia, Poland sambut 50 tahun hubungan diplomatik
Ubah saiz-+=