‘Langkah Sheraton’ berulang?

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

KUALA LUMPUR 4 Ogos- Tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap Kerajan Perikatan Nasional (PN) dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, bukan satu perkara luar biasa.

Penganalisis politik Universiti Malaya (UM) Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, semua yang terjadi adalah keadaan dinamik biasa politik, malah situasi sekarang hampir sama dengan yang pernah terjadi semasa ‘Langkah Sheraton’ tahun lalu.

Katanya, dalam politik tidak ada satu lawan atau kawan yang kekal tetapi hanyalah kepentingan, dan bagi ahli politik 24 jam bukan tempoh yang lama kerana banyak boleh berlaku dan berubah dalam sekelip mata.

“Tidak sama sepenuhnya tetapi kita pernah lihat perkara hampir sama belaku dalam ‘Langkah Sheraton’ ketika Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membawa 10 hingga 11 orang Ahli Parlimen keluar daripada PKR untuk menumbangkan Pakatan Harapan.

“Langkah seterusnya yang boleh dijangka adalah campur tangan institusi raja yang mana Yang di-Pertuan Agong perlu mengambil peranan dengan memanggil ketua-ketua parti untuk menghadap dan meminta mereka menjelaskan pendirian.

“Ini juga sama seperti berlakunya ‘Langkah Sheraton’ yang membawa kepada pembentukan PN,” katanya dalam progam Wacana Sinar bertajuk Apa ‘Cer’ Politik Malaysia secara maya, semalam.

Menurut Awang Azman, penyelesaian terbaik waktu ini adalah pembentukan kerajaan interim untuk tempoh enam bulan atau setahun.

Pandangan serupa dikongsi Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik UM Dr Mohammad Tawfik Yaakob yang percaya rakyat kini sedang memerhatikan setiap langkah diambil pemimpin.

“Kerajaan masih ada, pertukaran kerajaan tak boleh buat macam tukar tempat tinggal. Ia perlu dilakukan mengikut prosedur Perlembagaan. Kalau setakat nombor (jumlah Ahli Parlimen) sesiapa sahaja pun boleh cakap dia ada nombor tertentu,” katanya.

Tegasnya, politik matang tidak memerlukan istilah propaganda seperti ‘derhaka’ atau ‘pintu belakang’, sebaliknya berasaskan prinsip Perlembagaan, nilai adab dan rasa hormat terhadap rakyat.

Seterusnya, kata beliau, bercakaran dalam politik perkara biasa, tetapi percakaran yang bermaruah adalah menerusi pilihan raya umum nanti.

“Ahli politik ‘dinosour’ (lama) kena berundur. Kita sekarang berada di era politik baharu. Kalau betul sayangkan negara dan berjiwa besar, berilah peluang kepada nafas baharu dalam politik,” tambahnya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

795
Kongsi :
Previous post Muhyiddin kekal PM
Next post Tragedi pelajar maut cari liputan internet dapat perhatian menteri komunikasi
Ubah saiz-+=