Lanjutan tempoh pembaharuan permohonan EPOKU kepada dua tahun

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

KUALA LUMPUR 31 Mac – Senator Datuk Ras Adiba Radzi mengemukakan beberapa cadangan kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkenaan isu kemas kini permohonan Elaun Pekerja OKU (EPOKU) termasuk melanjutkan tempoh pembaharuan permohonan elaun itu dari setahun kepada setiap dua tahun.

Ras Adiba berkata beliau telah menerima beberapa aduan daripada komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) berkenaan isu kemas kini bagi permohonan EPOKU dan telah menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Ahli Dewan Negara itu juga merakamkan ucapan terima kasih kepada JKM kerana bertindak segera dan pantas dalam menyelesaikan masalah yang dibangkitkan.

Selain daripada memohon agar JKM melanjutkan tempoh pembaharuan permohonan EPOKU, Ras Adiba juga meminta agar komuniti OKU untuk pergi ke pejabat JKM terdekat bagi mengemas kini butiran berkenaan EPOKU masing-masing tiga bulan sebelum tarikh akhir.

“Ketiga, meminta komuniti OKU untuk memaklumkan alamat dan nombor telefon terkini kepada JKM sekiranya terdapat perubahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ras Adiba yang juga Presiden OKU Sentral turut memohon pegawai JKM agar lebih aktif turun padang atau lapangan bagi membantu komuniti OKU mendaftar.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar JKM tidak meminta surat pengesahan doktor bagi OKU kekal ketika proses memperbaharui permohonan EPOKU dan berharap pegawai jabatan itu bertolak ansur dan menggunakan sedikit budi bicara mengenai hal itu.

Dalam pada itu, Ras Adiba turut berharap agar komuniti OKU sentiasa peka dengan keadaan semasa dan sentiasa memberikan kerjasama yang padu kepada JKM.

“Hak dan martabat golongan OKU perlu dan tetap dijadikan salah satu agenda teras untuk diperkasakan supaya kemakmuran bumi bertuah ini dapat dimanfaat serta dikongsi bersama,” katanya.

EPOKU adalah bantuan kepada golongan OKU bagi menggalakkan mereka untuk terus bekerja, hidup berdikari dan menjadi ahli masyarakat yang produktif.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

905
Kongsi :
Previous post Angkara khianat? Cermin lapan kereta pecah
Next post Ordinan baharu beri kuasa kerajaan guna dana tanpa kelulusan wakil rakyat dalam tempoh darurat
Ubah saiz-+=