Ordinan baharu beri kuasa kerajaan guna dana tanpa kelulusan wakil rakyat dalam tempoh darurat

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

KUALA LUMPUR 31 Mac – Satu undang-undang baharu yang membenarkan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan), Menteri Besar atau Ketua Menteri meluluskan apa-apa perbelanjaan tambahan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, diwartakan hari ini.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa pada 31 Mac 2021, melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara hari ini.

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan dua seksyen baharu iaitu 10A dan 10B, telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 10A menyatakan apa-apa perbelanjaan tambahan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan, yang menghendaki suatu akta atau enakmen atau ketetapan Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri bagi tempoh darurat berkuat kuasa, boleh dibuat dengan kelulusan Perbendaharaan atau Menteri Besar atau Ketua Menteri bagi sesuatu negeri, sebagaimana diperuntuk oleh mana-mana undang-undang bertulis atau arahan perbendaharaan atau pekeliling perbendaharaan.

Seksyen 10B pula menyatakan bagi tempoh darurat berkuat kuasa, peruntukan yang berhubungan dengan penggunaan wang yang diperuntuk dalam perenggan 4(b) Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) dan perenggan 2(2)(b) Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946 (Akta 188) berkaitan kuasa Dewan Rakyat berhubung soal kewangan, tidak mempunyai kesan.

Ordinan itu dimasyhurkan apabila Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa tindakan serta-merta adalah dikehendaki bagi menjamin dan mengekalkan keselamatan, kehidupan ekonomi serta ketenteraman awam.

Pada 12 Januari lalu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos sebagai langkah proaktif membendung pandemik COVID-19 di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1833
Kongsi :
Previous post Lanjutan tempoh pembaharuan permohonan EPOKU kepada dua tahun
Next post Aplikasi Smart Parking boleh guna sehingga Oktober
Ubah saiz-+=