idris ahmad

Lapor kepada pihak berkuasa jika Islam dihina, jangan ambil tindakan sendiri

KUALA LUMPUR, 21 Julai – Undang-undang di Malaysia adalah mencukupi untuk digunakan bagi menghukum individu yang menghina kesucian agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata sehubungan itu, orang ramai diminta tidak mengambil tindakan sendiri tanpa mengikut lunas undang-undang sedia ada jika kesucian agama Islam dihina oleh pihak tertentu.

“Saya tidak mahu orang awam membuat tindakan mereka sendiri jika mengetahui ada pihak melakukan penghinaan terhadap kesucian agama Islam. Pihak berkuasa di negara ini seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan semua agensi penguat kuasa amat cekap dalam melakukan tugas mereka.

“Saya berterima kasih kepada mereka atas tindakan pantas terhadap isu penghinaan terhadap agama Islam yang banyak berlaku kebelakangan ini,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran Seminar Lelaki Qawwam peringkat kebangsaan 2022 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini.

Idris berkata punca individu terlibat menghina agama Islam adalah disebabkan oleh banyak faktor terutamanya masalah mental si pelaku.

“Secara normalnya jika seseorang yang waras sama ada dari kalangan orang Islam atau sebagainya mereka tidak akan sewenangnya cuba untuk mengaibkan agama secara rela,” katanya.

Menurut Idris pihaknya juga sentiasa berusaha membuat penyelesaian jangka panjang tentang isu itu dengan dua kaedah.

“Pertama kita cuba untuk memberikan pendidikan seperti usaha dakwah, turun ke lapangan, menganjurkan majlis kefahaman agama seperti hari ini dan sebagainya kepada orang awam.

“Keduanya ialah sistem hukuman itu sendiri yang mana pesalah perlu dihukum mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.

Seminar Lelaki Qawwam adalah usaha memperkasa peranan lelaki khususnya lelaki muslim, sebagai pemimpin, pelindung serta pembela keluarga dan masyarakat.

Sebelum ini, hangat diperkatakan tentang beberapa individu yang menghina agama Islam dan reaksi orang ramai. Terbaharu sebuah kelab komedi yang menjadi lokasi seorang wanita menanggalkan baju kurung dan tudung ketika membuat persembahan komediri dan premis berkenaan juga disimbah cat oleh dua lelaki.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

32
WhatsApp Image 2022-07-21 at 5.18.23 PM Previous post 250 orang Melaka bakal pecah rekod masak asam pedas
penyu Next post Penyu Agar betina ditemui mati di perairan Pulau Kapas, dipercayai dibunuh