Laporan PAc mengenai perolehan MySejahtera dibentang di Parlimen Julai depan

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

KUALA LUMPUR, 23 April – Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera akan dibentang dalam sidang Dewan Rakyat Julai ini, kata Pengerusi PAC Wong Kah Woh.

Beliau berkata PAC juga meminta agar Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Azhar Azizan Harun membenarkan laporan itu dibahaskan oleh Ahli Parlimen untuk tempoh sekurang-kurangnya sehari.

“PAC juga mencadangkan agar kerajaan mengambil kira pandangan laporan PAC yang bakal dibentang dan perbahasan Ahli-Ahli Parlimen sebelum mengambil keputusan yang melibatkan implikasi kewangan dalam isu pembangunan aplikasi itu,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Wong berkata PAC mengadakan prosiding kedua mengenai isu itu pada Khamis lepas yang membabitkan tiga agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) iaitu Unit Permodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

Katanya wakil agensi yang hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan dan Pembangunan) JPM Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Datuk Mohamad Ismail, Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Dr Yusoff Ismail, Ketua Pengarah MKN Datuk Rodzi Md Saad serta Ketua Eksekutif NACSA Rahamzan Hashim.

Wong berkata prosiding pertama pada 14 April lepas dihadiri Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

“Prosiding pada Khamis memfokus kepada pihak terlibat dalam pelantikan syarikat KPI Soft Sdn Bhd (nama terkini Entomo Malaysia Sdn Bhd) untuk membangunkan MySejahtera, kelangsungan konsep CSR yang dicadangkan dan ketidakwujudan kontrak rasmi antara kerajaan dengan syarikat pembangun.

“Turut menjadi fokus PAC ialah pemilikan aplikasi MySejahtera khasnya pegangan harta intelek dan pendirian KPI Soft atau MySj Sdn Bhd terhadap tuntutan pemilikan harta intelek seperti yang termaktub dalam dokumen Mahkamah dan dokumen berkaitan,” katanya.

Beliau berkata PAC akan meneliti segala keterangan, dokumen serta minit mesyuarat yang diperoleh dan akan membuat keputusan sama ada memanggil saksi lanjut. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1105
Kongsi :
Previous post 1,500 petugas ditempatkan di plaza tol sepanjang cuti Aidilfitri – PLUS
Next post KPDNHEP Melaka rekod 30 kes kesalahan kepenggunaan
Ubah saiz-+=