Lebih 10,000 Sukarelawan ATM, Askar Wataniah dicarum di bawah Perkeso

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

MACHAP JAYA 15 Julai – Seramai 10,129 anggota Pasukan Sukarelawan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di negara ini telah berjaya dicarumkan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, daripada jumlah itu juga seramai 6,800 Askar Wataniah juga diberikan inisiatif sama direkodkan sejak 9 Julai lalu.

Beliau berkata, inisiatif disalurkan dalam Belanjawan 2023 di bawah SPS Madani mampu menjamin perlindungan keselamatan kepada petugas berkenaan.

“Sukarelawan dan Askar Wataniah ini harus diberikan perlindungan kerana kita maklum aktiviti pekerjaan yang mereka lakukan terkait dengan aspek-aspek berkaitan faktor keselamatan.

“Seperti inisiatif yang kita lebarkan kepada golongan sukarelawan ini ia wajar dicarum sekurang-kurangnya sudut kebajikan keluarga mereka dapat dijaga kerana jika apa-apa berlaku keluarga mahupun isteri golongan ini mempunyai pendapatan untuk menampung keluarga mereka sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Outreach dan CSR Perkeso 2023 diadakan di Dewan Serbaguna Felda Tun Ghafar, Hutan Percha, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perkeso negeri, Abd Razak Omar.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan Perkeso bagi memastikan rakyat yang mempunyai pekerjaan sendiri akan terus dicarum menerusi skim yang ditawarkan.

Katanya, keselamatan dan kesejahteraan rakyat akan terus ditumpukan dengan kerjasama semua pihak.

“Dalam konteks Kerajaan Madani kerjasama antara kementerian dengan kementerian yang lain amat perlu dan kita tidak akan bekerja secara silo (bekerja dalam komuniti sendiri) tetapi ia membabitkan semua pihak agar mampu memberikan kesejahteraan terbaik kepada rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1306
Kongsi :
Previous post Seni yang menyeramkan
Next post PM umum peruntukan RM10 juta untuk Amanah Ikhtiar Malaysia
Ubah saiz-+=