Sorting by

×

LEBIH 100,000 ‘SERBU’ MINGGU MELAKA DI OSAKA

Masa Membaca:2 Minit, 58 Saat

OSAKA, JEPUN 8 September – Lebih 100,000 membanjiri Pavillion Malaysia bersempena Minggu Melaka pada World Expo 2025 Osaka, bermula 1 September lalu.

Mengikut data direkodkan Sekretariat World Expo 2025 Malaysia, purata kehadiran pengunjung adalah lebih 20,000 orang sehari di mana, jumlah tertinggi adalah seramai 24,326 orang pada 4 September lalu.

Kepelbagaian tarikan yang disediakan, selain persembahan istimewa sepanjang Minggu Melaka menjadi antara faktor ribuan pengunjung membanjiri Pavillion Malaysia.

Antara tarikan utama yang disediakan adalah tarian kebudayaan serta pertunjukan adat budaya Melaka yang diadakan tiga kali sehari iaitu pada jam 11 pagi, 2 petang dan 4 petang.

Paling mencuri tumpuan adalah joget lambak yang dipersembahkan penari Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN) yang bukan sahaja menggamatkan pentas, malah turut memberi peluang pengunjung, khususnya rakyat Jepun menari bersama dalam menonjolkan keunikan warisan seni budaya dari Melaka.

Tidak hanya itu, pengunjung turut tertarik dengan pertunjukan adat perkahwinan Melayu Melaka yang dibawakan khas di mana mereka juga diberi peluang turut serta dalam simbolik menepung tawar pasangan pengantin dan diberikan bunga telur.

Malah, ruang permainan rakyat seperti dam aji dan konda kondi yang dibawakan Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka turut mendapat sambutan hebat sehinggakan ada pengunjung yang berminat membeli permainan rakyat itu sebagai cenderamata.

Selain itu, Minggu Melaka juga turut membuka ruang kepada para usahawan mempamerkan keunikan produk masing-masing bertempat di Thematic Corner yang disediakan dalam Pavillion Malaysia.

Seramai lapan usahawan mengambil peluang mempromosikan kepelbagaian produk mereka daripada makanan dan minuman hinggalah pelbagai produk inovasi lain seperti lampu LED, peralatan memancing dan lain-lain lagi.

Whatsapp image 2025 09 08 at 10.41.05 am
PENGUNJUNG bergambar bersama bendera Malaysia di reruai yang disediakan khas di Pavillion Malaysia sempena Minggu Melaka World Expo 2025 Osaka.

Turut diadakan sesi padanan perniagaan dan seminar yang membuka ruang pelbagai agensi serta usahawan mempromosikan produk Melaka untuk menembusi pasaran global, khususnya dari Jepun.

Bukan itu sahaja, kafe di Pavillion Malaysia yang menjual pelbagai makanan dari Malaysia antaranya roti canai turut mendapat sambutan hangat dan tular di media sosial sehinggakan pengunjung sanggup beratur panjang bagi merasai keunikan citarasa negara.

Terdahulu, perasmian Minggu Melaka World Expo 2025 Osaka telah disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Pada majlis pelancaran itu, sebanyak lima perjanjian persefahaman (MoU) bernilai RM1 bilion telah dimeterai membabitkan pelbagai sektor antaranya akademik, pertanian serta teknologi hijau.

Antara yang dimeterai adalah dua MoU di antara Perbadanan Melaka (MCORP), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Jabatan Mufti Negeri Melaka bersama Universiti Kansai, Jepun bagi menjalankan projek Ramalan Kilat 3D Masa Nyata dan Amaran Awal Bencana Ribut (SATREPS).

Selain itu, MoU berkaitan pertanian bagi membekal buah-buahan Melaka seperti durian, nangka, nanas dan tembikai, serta jus Buah Melaka berjenama Melberic yang bakal menembusi pasaran Jepun juga turut dimeterai di Osaka.

Pada masa sama, antara misi utama Kerajaan Negeri di Osaka adalah mempromosikan sektor halal ke arah menjadikan Melaka sebagai hab halal yang serba lengkap dan moden.

Tidak hanya itu, Melaka turut mengambil kesempatan mempromosikan sektor pelancongan, lebih-lebih lagi, negeri bersejarah ini bakal menjadi tuan rumah Hari Pelancongan Sedunia (WTD) dan Persidangan Pelancongan Sedunia (WTC) 2025 yang bakal diadakan pada 27 hingga 29 September ini.

Sepanjang seminggu di Osaka, Melaka berjaya membuktikan negeri kecil ini mampu ‘mendunia’ apabila bukan sahaja mempromosikan negeri ke peringkat global, malah berupaya menarik minat pelabur dan pada masa sama membuka sebuah lembaran baharu dalam menarik kehadiran lebih ramai pelancong Jepun ke Melaka.

Semoga usaha dilakukan Kerajaan Negeri bersama jabatan, agensi dan usahawan terlibat ini dapat memacu ekonomi dan lebih banyak kejayaan Melaka pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

804
Kongsi :
Previous post ‘DULU BAWAH POKOK, SEKARANG JADI SUKAN POPULAR’
Next post KUTIPAN ZAKAT MELAKA KONSISTEN – AB RAUF