
LEBIH 12,000 PESERTA MERIAHKAN PERBARISAN HARI KEBANGSAAN MELAKA 31 OGOS INI
KLEBANG 5 Ogos – Sambutan Hari Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Melaka bakal menyaksikan lebih 12,000 peserta perbarisan kawad kaki dengan laluan yang lebih padat bagi membolehkan orang ramai menikmati keseluruhan acara dari lokasi utama di Persiaran Dataran Klebang.
Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Khidmat Pengurusan Kerajaan Jabatan Ketua Menteri Melaka Norena Jaafar berkata, sehingga kini pihaknya telah menerima pengesahan hampir 8,000 peserta namun jumlah itu dijangka meningkat kepada lebih 12,000 peserta menjelang sambutan hujung bulan ini.
Katanya, acara perbarisan pada sambutan tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya di Banda Hilir yang mana laluan perbarisan akan dipendekkan kepada kira-kira dua kilometer (km) sahaja, bermula dari Tapak One Prima Klebang dan berakhir di Dataran Klebang.
“Perubahan ini dilaksanakan supaya semua kontinjen dapat berkumpul semula di kawasan utama selepas tamat perbarisan dan orang ramai boleh terus menyaksikan pelbagai pengisian serta pameran yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui selepas sesi lawatan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ke tapak Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2026 Peringkat Negeri Melaka di Persiaran Jalan Klebang, pada Isnin.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Norena berkata, lebih menarik lagi hampir 15 kereta berhias turut dijangka mengambil bahagian dalam perarakan sebelum ia dipamerkan di kawasan tapak sambutan bagi memberi peluang kepada pengunjung melihatnya dengan lebih dekat sepanjang program berlangsung.
“Selain perbarisan, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai persembahan padang yang digarap Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, termasuk persembahan kebudayaan, akrobatik tentera, demonstrasi taktikal dan Tempur Tanpa Senjata (TTS).
“Kemuncak acara akan diserikan lagi dengan lintas hormat pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM); penerjunan 20 anggota payung terjun serta perarakan aset ketenteraan dan kenderaan pelbagai agensi penguat kuasa, sekali gus menjadikan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka 2026 di Klebang tahun ini lebih padat, tersusun dan menarik berbanding edisi sebelum ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

