Lebih 150,000 murid, pelajar di Melaka mulakan persekolahan hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

PAYA RUMPUT 10 Jan – Seramai 85,136 murid sekolah rendah dan 65,219 pelajar sekolah menengah di negeri ini memulakan sesi persekolahan hari ini.

Exco Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin berkata, jumlah itu bagaimanapun tidak merangkumi keseluruhan murid dan pelajar di Melaka memandangkan masih ada 71 menjadi mangsa banjir dan masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).

Selain itu, katanya, beberapa sekolah yang dijadikan PPS sebelum ini juga masih ditutup menyebabkan murid dan pelajarnya terpaksa menjalani sesi pengajian dan pembelajaran di rumah (PdPR) selama seminggu sebelum dapat belajar secara fizikal.

“Kepada mereka yang mengalami kesukaran dalam menjalani PdPR bolehlah maklumkan supaya pihak Jabatan Pendidikan (Negeri) dapat memberi bantuan yang sewajarnya.

“Apapun saya harap ibu bapa, pendidik perlulah memastikan anak-anak berada di sekolah dalam keadaan baik dan sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP).

“Sama-samalah kita mendoakan sesi persekolahan kali ini berjalan lancar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan hari pertama sekolah, di samping mengedarkan pelitup muka percuma di Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Minyak dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Haji Abdul Malek, di sini, pagi ini.

EXCO Pendidikan, Datuk Rais Yasin. Foto Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Rais yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput berkata, pihaknya kini juga sedang mengenal pasti murid dan pelajar yang yang kehilangan buku teks akibat musibah banjir, baru-baru ini.

Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka perlu segera mengenal pasti murid dan pelajar yang terjejas dan memberikan buku teks baharu dalam kadar segera.

“Saya akan pastikan segala kelengkapan mereka yang terjejas akan diselesaikan dalam keadaan segera supaya pelajaran mereka tidak terjejas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rais berkata, setakat ini terdapat 36 guru yang tidak divaksin di negeri ini atas alasan kesihatan.

Beliau bagaimanapun meminta ibu bapa tidak risau kerana guru-guru ini tidak akan mengajar secara fizikal, sebaliknya diberi tugas dan tanggungjawab lain.

EXCO Pendidikan, Datuk Rais Yasin mengadakan lawatan dan mengedar pelitup muka sempena hari pertama pembukaan sekolah 2022 di Sekolah Kebangsaan Tanjung Minyak. Foto Iqmal Haqim Rosman

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

557
Kongsi :
Previous post Banjir: 258 mangsa di Jasin belum pulang ke rumah
Next post Sama-sama berlumba buat kebaikan tahun ini – KM
Ubah saiz-+=