Sorting by

×

Lebih 5,000 hadir Himpunan Satu Juta Pembela Palestin di Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PAYA RUMPUT 29 Oktober – Laungan ‘Hidup Palestin’, ‘Merdeka Palestin’ dan ‘Hancur Zionis’ bergema di Mega Road Tour Himpunan Satu Juta Pembela Palestin, perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong di sini hari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini di lokasi mendapati, lebih 5,000 masyarakat tanpa mengira agama dan bangsa, hadir menyertai perhimpunan menyatakan solidariti terhadap Palestin.

Himpunan berkenaan turut disertai Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang tiba kira-kira 9.30 pagi untuk bersama-sama bagi menyatakan sokongan kepada rakyat Palestin.

Hadir sama, Exco Kanan, Perumahan Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri, Datuk Fairul Nizam Roslan dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin serta kepimpinan Kerajaan Negeri lain.

Img 2451
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh (tengah) hadir menyertai perhimpunan menyatakan solidariti terhadap Palestin di Mega Road Tour Himpunan Satu Juta Pembela Palestin, perkarangan Stadium Hang Jebat, Krubong di sini hari ini. Foto: MR. AZLI

Orang ramai yang rata-ratanya tiba seawal jam 7 pagi mengenakan mafla serta mengibarkan bendera Palestin sebagai tanda solidariti mereka terhadap rakyat negara itu yang ditindas rejim Zionis.

Laungan takbir diselang selikan dengan ceramah ringkas, persembahan dan sorakan sokongan terhadap Palestin bergema di perkarangan stadium berkenaan.

Himpunan tersebut merupakan tanda membantah serangan tanpa perikemanusiaan yang meragut ribuan nyawa di kawasan bergolak itu.

Gelombang sokongan atau solidariti pada rakyat Palestin itu turut memberi peluang rezeki kepada peniaga-peniaga kecil menjual pelbagai barangan Palestin (mafla, stiker muka, lilitan kepala dan lain-lain), makanan dan minuman di perkarangan stadium tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1338
Kongsi :
Previous post Penjagaan alam sekitar perlu jadi budaya di Melaka
Next post Masih ada Orang Asli tiada rumah
Ubah saiz-+=