Masih ada Orang Asli tiada rumah

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

ASAHAN 29 Oktober – Nasib sebahagian masyarakat Orang Asli di Melaka yang tidak memiliki kediaman sendiri perlu diberi perhatian, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asahan Datuk Fairul Nizam Roslan.

Beliau yang juga Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri berkata, ia memandangkan ada dalam kalangan keluarga Orang Asli yang telah berkahwin dan baru memeluk Islam masih tinggal berhimpit dalam satu rumah.

Justeru, permohonan penambahan peruntukan daripada Kerajaan Pusat menerusi Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi membaik pulih dan membina rumah baharu bagi golongan tersebut wajar dipertimbangkan.

“Kita berharap tahun depan, banyak lagi peruntukan bagi pembinaan rumah baharu diberikan kepada masyarakat Orang Asli kerana memang tidak selesa kalau sudah berkahwin tinggal dalam satu rumah yang mempunyai tiga empat keluarga sekali.

“Sebelum ini, kita ada memohon namun difahamkan hanya sebuah rumah sahaja diluluskan, jadi Kerajaan Pusat perlu memberi perhatian lebih mendalam kepada usaha menambah bilangan rumah baharu serta baik pulih rumah mereka.

“Begitu juga rekod Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menunjukkan ramai juga saudara baharu daripada masyarakat Orang Asli ini memeluk Islam memerlukan rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Jalinan Kasih Mahabbah di Kampung Orang Asli Solok Terentang, Kampung Jus, di sini, semalam.

Img 20231029 Wa0003
ANAK-ANAK dari masyarakat Orang Asli Solok Terentang.

Mengikut rekod, setakat ini, terdapat 14 perkampungan Orang Asli di seluruh negeri ini dengan empat perkampungan berada di DUN Asahan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

847
Kongsi :
Previous post Lebih 5,000 hadir Himpunan Satu Juta Pembela Palestin di Melaka
Next post Air Mata Palestin – Ab Rauf
Ubah saiz-+=