Lebih 60,000 Orang Asli tidak setuju terima vaksin- Abdul Rahman

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

KUALA BERANG 8 Jun – Seramai 63,734 individu masyarakat Orang Asli didapati tidak bersetuju menerima suntikan vaksin COVID-19 berdasarkan maklum balas daripada borang pendaftaran di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, daripada 79,041 borang pendaftaran yang diterima pihaknya setakat ini, hanya 15,307 individu daripada masyarakat itu menyatakan persetujuan.

“Jadi kita lihat jumlah yang bersetuju untuk divaksin amat rendah. Kebanyakan alasan diberikan mereka yang menolak vaksin ini adalah kerana takut akan mati dalam masa dua atau tiga tahun selepas ambil vaksin.

“Itu baru kita terima pulangan borang sebanyak 79,041, sedangkan kita telah edarkan borang kepada kira-kira 120,000 individu Orang Asli yang layak terima vaksin. Jadi saya akui kesedaran dalam kalangan masyarakat Orang Asli mengenai kepentingan vaksin masih rendah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.

Abdul Rahman berkata setakat ini seramai 3,018 Orang Asli telah menerima vaksin dan yang telah menerima vaksin kali kedua berjumlah 1,330 orang.

Sehubungan itu, beliau berkata kementerian bersama Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan pihak-pihak berkaitan akan memperluaskan program penerangan mengenai kepentingan vaksin kepada Orang Asli melalui pelbagai kaedah termasuk secara dalam talian.

“Mungkin mereka ini tidak mendapat penjelasan yang sebenar. Jadi kementerian mungkin akan susun kembali strategi dan program kita untuk memberi nasihat dan penerangan supaya semua Orang Asli yang layak bersetuju menerima vaksin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

415
Kongsi :
Previous post Pembangkang perlu lebih realistik – Mohd Rafiq
Next post Sindiket penyeludupan Rohingya ke Malaysia akan diburu
Ubah saiz-+=