Lebih 900 pegawai, anggota ATM terlibat operasi selamatkan mangsa banjir

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

KUALA LUMPUR, 21 Dis – Seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terlibat dalam usaha menyelamat mangsa banjir di negeri-negeri terjejas.

Panglima ATM Jen Tan Sri Affendi Buang berkata anggota dan aset ATM digerakkan oleh Tentera Darat yang terlibat dalam Operasi Murni (Op Murni).

Beliau berkata ketika ini, ia sedang memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terjejas di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.

“Op Murni ini diaturgerakkan bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, pegawai perhubungan di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan telah mengaturgerakkan aset-aset seperti trak, pacuan empat roda, bot tempur serta aset udara daripada Tentera Udara Diraja Malaysia sekiranya diperlukan.

“ATM sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk diaturgerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu pihak berkuasa dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata ATM sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa dalam menyelamatkan mangsa banjir terutama usaha memindahkan mereka ke kawasan selamat.

Setakat malam tadi, bilangan mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mencatatkan lebih 61,000 orang dengan Pahang dan Selangor mencatat jumlah paling tinggi.- BERNAMA

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1186
Kongsi :
Previous post Ajal selepas tukar tayar kereta
Next post Amaran hujan berterusan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak
Ubah saiz-+=